- Iklan -
Berita

Tumpu kepada sistem penjagaan kesihatan, kata pakar berhubung pelan keluar Covid-19

Mereka mencadangkan penggunaan indikator tambahan berkaitan bagi peralihan antara satu fasa kepada fasa seterusnya.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada penduduk Pangsapuri Pantai Ria di dalam trak vaksin yang dijadikan PPV bergerak di Pantai Dalam. Kadar vaksinasi juga menjadi indikator dalam peralihan fasa pemulihan negara.
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada penduduk Pangsapuri Pantai Ria di dalam trak vaksin yang dijadikan PPV bergerak di Pantai Dalam. Kadar vaksinasi juga menjadi indikator dalam peralihan fasa pemulihan negara.

Pakar kesihatan awam menggesa kerajaan mempertimbangkan beberapa lagi perincian terutamanya keadaan sistem kesihatan ketika memutuskan peralihan fasa-fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara Covid-19.

Tiga indikator yang ketika ini diguna pakai adalah jumlah kes jangkitan harian, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.

Dr Malina Osman, seorang pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia, mencadangkan kerajaan turut mempertimbangkan angka kes-kes aktif dan kadar kematian.

“Ia perlu lebih spesifik, bagi melihat bebanan sebenar sistem penjagaan kesihatan kita.

“Melihat angka kes baru sahaja tidak mencukupi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut mencadangkan indikator-indikator tersebut perlu diteliti semula, antara lain memasukkan kadar kematian dan jumlah pesakit Covid-19 yang berada dalam keadaan kritikal yang menurutnya harus menurun kepada angka dua digit sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan.  

Selepas sistem penjagaan kesihatan sudah boleh beroperasi secara nomal tanpa perlu lagi tertumpu kepada pesakit Covid-19, barulah sekatan-sekatan PKP boleh dilonggarkan, katanya.

“(Hal ini bermaksud) sistem penjagaan kesihatan kita akan boleh menawarkan perkhidmatan biasa yang ketika ini tertunda akibat angka pesakit Covid-19 yang ramai,” katanya.

“Ini termasuklah pembedahan-pembedahan elektif, saringan dan ujian bagi penyakit-penyakit lain.”

Empat fasa Pelan Pemulihan Negara yang bakal menyaksikan beberapa sektor dibuka semula dalam beberapa peringkat diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu.

Peralihan kepada fasa kedua adalah tertakluk kepada angka kes harian jatuh ke bawah 4,000, tekanan sistem kesihatan awam semakin berkurangan dan kadar populasi yang menerima vaksin lengkap mencapai 10% daripada populasi.

Bagi peralihan ke fasa ketiga, kes harian mesti berada di bawah 2,000 selain 40% populasi divaksin sepenuhnya.

Peralihan ke fasa terakhir pula bergantung kepada jangkitan harian yang jatuh di bawah 500 kes selain sasaran 60% populasi mendapat vaksin lengkap.

Ahli epidemiologi Universiti Malaya Dr Sanjay Rampal pula mencadangkan rekalibrasi PKP berdasarkan sektor, mengatakan kesan-kesan jangkitan adalah berbeza daripada satu sektor ke sektor lain.

Beliau berkata aktiviti seperti membeli-belah, rekreasi fizikal dan makan di premis terbuka adalah kurang berisiko berbanding jangkitan penyakit dalam kawasan tempat kerja atau belajar yang tertutup dan sesak.

“Indikator epidemiologi yang sesuai perlu digunakan sebagai nilai ambang SOP Covid-19.

“SOP yang berdasarkan kawasan setempat dari peringkat persekutuan ke negeri, serta daerah akan dapat meningkatkan nisbah manfaat dan kos,” katanya walaupun mengakui kaedah tersebut akan menyukarkan operasi-operasi yang dijalankan.

Beliau turut mencadangkan SOP diteliti semula menggunakan algoritma yang diintegrasikan dengan faktor-faktor lain seperti angka kes keseluruhan dan kadar ketumpatan kes mengikut saiz populasi, peratusan jangkitan dalam komuniti dan kebolehjangkitan atau Rt.

Indikator lain yang boleh digunakan termasuk memanfaatkan perkhidmatan pencegahan dalam kesihatan awam dengan mengambil kira kadar waktu dari peringkat ujian sehinggalah pengesanan kontak selain kapasiti wad ICU, katanya.

Dr Raj Kumar Maharajah, yang mengetuai Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia, berkata indikator yang dipakai kerajaan ketika ini menyediakan satu dasar yang kukuh bagi merancang langkah seterusnya.

Namun beliau mencadangkan kadar kebolehjangkitan R-naught perlu menjadi faktor utama dalam menentukan kapasiti sistem penjagaan kesihatan ketika ini bagi menangani kes-kes Covid-19.

“Ia mesti menjadi salah satu indikator utama untuk mengetahui sama ada sistem kesihatan kita sudah sampai tahap yang parah atau ia boleh bertahan.

“Jika semua ini berada dalam keadaan yang boleh lagi ditolak ansur, maka keadaan kita okay.”

Beliau turut menyuarakan kesangsian mengenai sasaran untuk mengurangkan kes jangkitan harian ke paras angka bawah 4,000, mengatakan sasaran itu mungkin tidak dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Ia mungkin mengambil masa yang lama supaya angka itu menurun ke jumlah kes yang kita mahukan.

“Saya fikir ia akan mengambil masa yang lama untuk kes menurun sehingga bawah 4,000.

“Kita seperti terperangkap antara mulut buaya dan mulut harimau,” tambahnya.

“Jika anda tidak mati kerana Covid, mungkin anda mati sebab lapar, jadi kita kena fikir betul-betul dan seimbangkan semua perkara dengan lebih teratur.”