- Iklan -
Berita

Ribuan tandatangan petisyen tidak mahu Jeff Bezos kembali semula ke bumi

Bilionair itu disifatkan sebagai ketua kejahatan dari neraka yang mendominasi dunia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Jeff Bezos dijadualkan berlepas ke angkasa lepas bulan depan menggunakan pesawat New Shepard yang diusahakan syarikat miliknya Blue Origin. Gambar: AP
Jeff Bezos dijadualkan berlepas ke angkasa lepas bulan depan menggunakan pesawat New Shepard yang diusahakan syarikat miliknya Blue Origin. Gambar: AP

Dua petisyen di Change.org untuk menghentikan Jeff Bezos daripada kembali semula ke bumi dari program angkasa kini telah mengumpul hampir 50,000 tandatangan.

Business Insider berkata petisyen yang paling banyak mengumpul tandatangan bertajuk: “Do not allow Jeff Bezos to return to Earth,” (Jangan benarkan Jeff Bezos kembali ke bumi).

Bezos dijadualkan akan berlepas pada 20 Julai depan menggunakan roket New Shepard yang mengangkut manusia ke angkasa lepas.

Pengasas firma penerokaan angkasa Blue Origin itu dan adiknya Mark Bezos akan turut melakukan perjalanan kembali selepas berlepas.

Tiga hari selepas lelaki terkaya itu mengumumkan penerbangannya, dua petisyen telah dilancarkan supaya mereka tidak pulang semula ke bumi.

Kedua-dua petisyen tersebut telah menerima ribuan tandatangan dalam hanya tempoh 10 hari.

“Orang kaya bilionair sepatutnya tidak wujud atas bumi atau di angkasa lepas, dan sekiranya mereka memilih untuk ke angkasa lepas, mereka patut terus tinggal di sana,” kata petikan penjelasan petisyen tersebut.

Beberapa tandatangan turut disertai alasan mengapa mereka menandatangani petisyen tersebut, antara alasan mereka termasuk “untuk kembali ke bumi adalah satu keistimewaan – bukannya hak”, dan “Bumi tak mahu orang seperti Jeff, Bill (Gates), Elon (Musk) dan bilionair macam mereka.”

Jose Ortiz, orang yang bertanggungjawab memulakan salah satu petisyen tersebut berkata bahawa Bezos adalah “ketua kejahatan dari neraka dalam dominasi global”.

Menurut laman sesawang itu, kedua-dua petisyen tersebut menyasarkan 25,000 tandatangan, menjadikan kedua-dua petisyen tersebut dua petisyen di Change.org yang memiliki tandatangan tertinggi.

Bezos akan berlepas dalam penerbangan yang mengambil masa 11 minit ke luar orbit bumi menggunakan pesawat New Shepard bersama adiknya dan selorang pemenang yang tidak didedahkan namanya dalam sebuah lelongan Blue Origin yang dijual dengan harga AS$28 juta.

Mereka akan duduk dalam sebuah kapsul berbentuk kubah yang menjadi mercu roket tersebut.

Sebelum ini, New Shepard dilaporkan mencecah garisan Kármán – sempadan sejauh 100 kilometer di luar permukaan bumi – kapsul itu kemudiannya akan dipisahkan daripada pemangkin roket, dan masuk semula ke dalam atmosfera bumi, dan ia akan terapung menggunakan payung terjun sebelum kembali mencecah bumi.

Pada 7 Jun lalu, Bezos berkata dalam sebuah video Instagram, “Saya mahu naik pesawat ini kerana ini adalah satu perkara yang sudah lama saya mahu lakukan. Ia adalah satu kembara yang penting untuk saya.”