- Iklan -
Berita

Bekas peguam negara jelaskan kerajaan tidak tertakluk di bawah gesaan Raja Melayu

Mohamed Apandi Ali berkata Agong perlu mengikut nasihat perdana menteri di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohammed Apandi Ali. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Mohammed Apandi Ali. Gambar: AFP

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berkata Yang di-Pertuan Agong adalah tertakluk di nasihat perdana menteri di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebuah pandangan terbaru dalam beberapa siri perbahasan oleh bekas-bekas pegawai kanan undang-undang negara mengenai debat selepas mesyuarat khas Raja-Raja Melayu minggu lalu.

Apandi yang berkhidmat di bawah pentadbiran Najib Razak berkata Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan tugasan Agong dalam sumpah jawatannya.

“Ini amat bertetapan dengan prinsip raja berperlembagaan. Tambahan pula, semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu dan rakyat, perlu patuh dan menghormati perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Kerana Perlembagaan ini merupakan undang-undang tertinggi di dalam Negara,” katanya dalam respons terhadap penjelasan yang dikeluarkan oleh bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad dan pensyarah kanan Shamrahayu Abdul Aziz, menolak gesaan beberapa ahli politik yang mahu kerajaan mengikut gesaan Raja Melayu supaya Parlimen bersidang semula secepat mungkin selain menamatkan perintah darurat Covid-19.

Pandangan mereka berdua mengulangi kenyataan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram yang sebelum ini berkata Agong tidak memiliki kuasa budi bicara melainkan dalam tiga perkara: pelantikan perdana menteri, pembubaran Parlimen, dan penganjuran mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang jelas termaktub dalam Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan.

Minggu lalu, dua kenyataan dari Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menggesa kerajaan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat secepat mungkin, kenyataan itu juga turut disambut ahli politik pembangkang yang turut menggesa Putrajaya supaya menghormati titah Agong.

Ahli politik Pakatan Harapan dan Umno juga dilihat mengingatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa sekiranya beliau gagal tunduk terhadap gesaan Agong ia boleh dianggap sebagai tidak menghormati Raja Melayu.

Dalam pada itu, Apandi turut berkata Agong memiliki hak untuk mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak lain, dan menambah perkara itu telah pun dilaksanakan melalui 19 orang anggota jawatankuasan khas bebas yang diketuai bekas ketua hakim negara Ariffin Zakaria.