Thursday, August 5, 2021

Kerajaan beri kelulusan khas tambah 18,000 guru mulai Julai

Pengambilan guru secara besar-besaran dalam tempoh yang singkat dijalankan bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan setelah ia berlarutan untuk tempoh yang lama.

Other News

Kerajaan memberi kelulusan khas untuk menambah seramai 18,702 pegawai perkhidmatan untuk menyelesaikan isu kekurangan guru menerusi kaedah pengambilan khas guru secara “one off”, kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata pengambilan guru secara besar-besaran dalam tempoh yang singkat ini dijalankan untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan setelah “berlarutan untuk tempoh yang lama”.

Katanya, antara negeri yang mempunyai jumlah kekosongan guru tertinggi adalah Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak dan pengambilan guru secara one-off ini akan bermula pada 7 Julai dan calon yang layak akan mendapat penempatan mulai Oktober.

“Dengan pengambilan ini kita dapat kurangkan beban guru khususnya guru-guru di sekolah di mana terdapat kekurangan guru waktu ini.

“Usaha ini juga dapat memberi ruang pekerjaan kepada anak-anak kita graduan universiti yang berminat mengajar di sekolah dan mempunyai kelayakan seperti mana yg ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, antara punca terdapat kekurangan guru yang tinggi kerana kekurangan bekalan calon Institut Pendidikan Guru (IPG) serta kelayakan guru yang tidak padan dengan mata pelajaran yang ditawarkan.

Menurutnya, isu ini akan diselesaikan menerusi kelulusan khas daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (SPP) untuk mengisi jawatan guru di kementerian.

“Isu kekurangan guru tidak akan dapat diselesaikan kalau kita masih melihat menggunakan pendekatan lama.

“Kita cuba fahami punca di mana sebabnya, dari situ kita lihat bahawa SPP bersetuju mengadakan kolaborasi strategik bersama KPM dalam konteks pengambilan guru,” katanya.

Antara mata pelajaran sekolah rendah yang mempunyai kekurangan guru tertinggi adalah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Manakala, mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam dan Reka Bentuk Teknologi mempunyai kekosongan guru tertinggi di sekolah menengah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles