- Iklan -
Berita

1.5 juta individu lengkapkan dua dos vaksin setakat ini

5,675,002 dos vaksin telah diberikan melalui program vaksinasi kebangsaan setakat semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk kampung menunggu giliran untuk merima vaksin di PPV Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan. Gambar: Bernama
Penduduk kampung menunggu giliran untuk merima vaksin di PPV Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan. Gambar: Bernama

Jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara ini setakat semalam telah mencecah 5,675,002 dos, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata seramai 1,588,915 individu telah melengkapkan dua dos vaksin manakala 4,086,087 individu menerima dos pertama.

Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 207,077 diikuti Sarawak (181,690), Johor (161,082), Perak (147,250) dan Kuala Lumpur (141,071), katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Mengenai vaksinasi harian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Dr Adham berkata 164,282 dos diberikan semalam melibatkan 128,400 penerima suntikan pertama manakala 35,882 lagi dos kedua.

Sementara itu, berdasarkan laporan harian jumlah pendaftaran kumulatif vaksin dalam laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, sebanyak 15,072,779 pendaftaran direkodkan setakat semalam.