- Iklan -
Berita

Semangat perpaduan perangi Covid-19 masih kurang, kata Noor Hisham

Isu pematuhan SOP oleh semua pihak masih menjadi isu pada masa kini walaupun pandemik itu telah melanda negara lebih setahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik Covid-19 dilihat masih kurang, yang menyumbang kepada peningkatan kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau mengakui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak masih menjadi isu pada masa kini walaupun pandemik itu telah melanda negara lebih setahun.

“Saya fikir ia masih kurang kerana terdapat perselisihan dari segi perpaduan, kita berlawan sesama sendiri dari segi pendapat, pendekatan dan sebagainya, dan bukannya melawan menentang virus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tamanya pada Webinar Antarabangsa Malaysia Pertama mengenai bantuan awal psikologi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) hari ini.

Dr Noor Hisham turut memberi jaminan bahawa semasa krisis ini, setiap keputusan dibuat dengan pertimbangan mendalam.

“Apabila anda mempunyai kehidupan dan mata pencarian, keseimbangan antara kesihatan dengan ekonomi, bagaimana anda mewujudkan keseimbangan yang betul, ini sangat sukar dan mencabar…untuk mendapat kesan yang minimum pada ekonomi dan hasil maksimum pada kesihatan.

“Inilah sebabnya mengapa kadang-kadang ia tidak mudah, kerana anda perlu mengambil pertimbangan banyak perkara sebelum membuat sesuatu keputusan,” katanya.