Thursday, August 5, 2021

Warga PKRC seluruh negara, PM berselawat bersama, doakan kesejahteraan negara

Muhyiddin berharap rakyat dapat terus berjuang dan tidak berasa lemah semangat dalam menghadapi dugaan serta cabaran pandemik ketika ini.

Other News

Muhyiddin Yassin hari ini menyertai program PKRC Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia yang diadakan secara maya bagi memohon kesejahteraan warga di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) serta seluruh rakyat yang kini berjuang melawan pandemik Covid-19.

Bacaan selawat dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim bersama dua qari Ahmad Tarmizi Ali dan Amir Rahman Abbas di Kompleks Islam Putrajaya.

Perdana Menteri yang mengikuti program itu di Jabatan Perdana Menteri turut disertai ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta rakyat Malaysia termasuk warga di PKRC seluruh negara secara maya yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama TV pada 8.30 pagi ini.

Turut serta, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Bacaan selawat itu kemudian diakhiri dengan doa keselamatan oleh Ikmal Zaidi yang antara lain memohon Allah SWT memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada segala penyakit berbahaya serta mendoakan kesejahteraan dan kestabilan negara.

Muhyiddin dalam ucapannya sejurus majlis itu berharap rakyat dapat terus berjuang dan tidak berasa lemah semangat dalam menghadapi dugaan serta cabaran ketika ini.

Menurutnya, perjuangan dalam melawan pandemik Covid-19 itu memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak dan beliau yakin negara akan keluar daripada wabak tersebut tidak lama lagi.

“Pastinya doa kita ini akan meningkatkan lagi dan memperkuat semangat juang kita. Jangan kita rasa lemah semangat, jangan kita berasa mahu berundur atau tunduk kepada apa-apa cabaran berat yang sedang dihadapi oleh negara kita. Pastinya ini memerlukan kerjasama, sokongan dan bantuan sesama kita.

“Perjuangan atau peperangan besar seperti ini tidak mungkin berjaya tanpa ada pengorbanan yang besar daripada kita semua. Pelan Pemulihan Negara yang telah pun saya bentangkan adalah harapan baharu yang ada, dan inilah yang akan kita usahakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Pada masa sama, perdana menteri turut menzahirkan rasa bangga terhadap kecekalan dan semangat juang yang tinggi rakyat Malaysia, khususnya petugas barisan hadapan, dalam menghadapi pandemik Covid-19.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles