- Iklan -
Berita

Vaksinasi harian lepasi sasaran bulan Julai bagi 3 hari berturut-turut

Angka pemberian vaksin harian lepasi 200,000 sejak 15 Jun.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada warga emas di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Sinovac kepada warga emas di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Jalan Dutamas.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semalam merekodkan bilangan vaksinasi harian tertinggi dengan 221,706 dos suntikan, melepasi sasaran kerajaan untuk Julai dua minggu lebih awal bagi tiga hari berturut-turut.

Dalam sebuah ciapan Twitter, PICK berkata seramai 177,876 individu telah menerima dos pertama vaksin semalam sementara 43,830 lagi menerima dos kedua, menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin Covid-19 yang diberikan setakat ini sebanyak 5,330,654.

Angka harian pemberian vaksin telah melepasi sasaran bagi bulan Julai sebanyak 200,000, ia pertama kali dicatatkan pada 15 Jun lalu dengan 215,876 dos suntikan berjaya diberikan.

Sejak tarikh itu, jumlah vaksinasi melebihi 200,000 telah dicatatkan negara.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata kerajaan menyasarkan vaksinasi harian sebanyak 200,000 dos suntikan bermula Julai dan 300,000 suntikan sehari bermula Ogos depan.

Semalam, 11.7% populasi negara telah menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama sementara 1,520,583 orang telah menerima vaksin lengkap.

Lima negeri yang mencatat bilangan vaksinasi lengkap tertinggi adalah Selangor (195,315), Sarawak (1,272,644), Johor (149,227), Perak (140,885) dan Kuala Lumpur (137,078).

Dalam pada itu, seramai 14,637,437 pendaftaran vaksinasi telah direkodkan setakat 16 Jun.

Jumlah tersebut menunjukkan 62.5% populasi negara telah mendaftarkan diri dalam program vaksinasi.