- Iklan -
Berita

Sabah sedia adakan sidang DUN jika keadaan mengizinkan, kata ketua menteri

Hajiji berkata beliau telah berbincang dengan Speaker DUN Sabah Kadzim Yahya semalam berhubung pandangan Agong yang mahu persidangan Parlimen dadakan secepat mungkin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor. Gambar: Bernama

Kerajaan Sabah sedia untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa sekiranya keadaan mengizinkan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Hajiji berkata beliau telah berbincang dengan Speaker DUN Sabah Kadzim Yahya semalam susulan kenyataan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah yang menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Kerajaan negeri akan meminta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu dan sedia untuk bersidang semula dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

DUN Sabah kali terakhir bersidang pada 18, 21, 22 dan 23 Disember tahun lepas, menyaksikan Hajiji membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2021 pada 18 Disember sebelum diluluskan pada 23 Disember.