- Iklan -
Berita

Selepas kenyataan Raja-Raja Melayu, Anwar-Zahid-Najib rancang kudeta di era pandemik

Rancangan itu akan membuka jalan penubuhan kerajaan PH yang didominasi 'kluster mahkamah' Umno.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.
Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Dalam beberapa hari ini, rundingan baru antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak mula dijalankan bagi mencapai persetujuan menubuhkan sebuah pakatan yang akan dimeterai antara dua parti itu sedikit masa lagi selepas lama tertangguh, MalaysiaNow difahamkan.

Seorang pembantu kanan pemimpin utama Umno berkata perancangan mereka ketika ini yang sepatutnya dilaksanakan pada Oktober lalu – sewaktu Zahid dan Najib menulis sepucuk surat kepada istana menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri – mendapat “nyawa yang baru” susulan kenyataan Agong dan Raja-Raja Melayu semalam.

“Beberapa perbincangan mula berlaku pada tahap yang lebih serius malam semalam,” kata sumber kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak mahu dinamakan.

“Tambahan pula kali ini Agong tidak memberikan peringatan kepada ahli-ahli politik supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu, menjadi satu pemangkin bagi usaha mereka.”

Ketika dihubungi, sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen kanan PKR mengesahkan rancangan tersebut, sementara seorang lagi ahli Parlimen berkata rundingan-rundingan tersebut turut membincangkan bagaimana untuk “menjinakkan” DAP.

“Mereka sedar tanpa sokongan DAP, tidak mungkin sebarang majoriti dapat dikumpulkan bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional,” kata ahli Parlimen itu.

Ketika ditanya sama ada sebarang percubaan sedemikian boleh dilaksanakan ketika Parlimen masih ditangguhkan, ahli Parlimen PKR itu berkata penasihat kanan Anwar yakin wujud “jalan-jalan alternatif” bagi menggulingkan kerajaan.

“Tidak ada seorang pun yang ada akses, kecuali orang-orang rapat dengan Datuk Seri mengenai persetujuan bersama antara Anwar dan Zahid,” katanya.

Raja-Raja Melayu selepas mesyuarat khas semalam mengeluarkan kenyataan yang menggesa Parlimen bersidang “secepat mungkin”, sehari selepas Muhyiddin membentangkan Pelan Pemulihan Negara yang menyasarkan pembukaan semula Parlimen pada September atau Oktober depan tertakluk kepada situasi kesihatan awam negara.

Dilema DAP

Sebahagian pemimpin DAP memberikan reaksi berhati-hati terhadap gesaan-gesaan yang mahu parti itu bekerjasama dengan Umno bagi kembali menjadi kerajaan persekutuan, cadangan yang tidak diuar-uarkan secara aktif kerana dibimbangi mengundang kecaman daripada pengundi mereka di akar umbi.

“Pilihan raya 1999 masih segar dalam ingatan kami,” kata seorang ahli Parlimen DAP kepada MalaysiaNow, merujuk pilihan raya umum yang menyaksikan sokongan orang Cina berpindah kepada MCA.


Pendedahan: Najib, Zahid tulis surat ke Istana untuk sokong Anwar

Pendedahan: Kisah di sebalik surat Zahid kepada Agong

‘Kluster mahkamah’ ancam pilihan raya musim pandemik selepas rancangan Anwar gagal

Pendedahan: Perbualan telefon Anwar dan Zahid

Pusingan lengkap: Mengapa kerjasama Anwar dan Zahid tidak mengejutkan


Permuafatakan politik DAP bersama PAS pada 1999 menyaksikan sebahagian daripada pemimpin utamanya kalah di kerusi-kerusi tradisi mereka.

Ini menyebabkan DAP mengambil keputusan untuk bersendirian pada 2004 di mana ia berjaya menawan semula kubu-kubunya walaupun Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar.

Ramai pemimpin DAP turut dilihat berdepan dengan persoalan moral jika menjadi sebahagian daripada parti kerajaan baru yang turut terdiri daripada “kluster mahkamah”, sebuah gelaran terhadap sejumlah pemimpin Umno termasuk Najib yang berdepan dengan beberapa pertuduhan rasuah.

DAP merupakan antara parti yang menerajui serangan terhadap Najib dalam skandal 1MDB, isu utama yang dibangkitkan PH sewaktu kempen pilihan raya 2018 sehingga berjaya melakar sejarah menghumban Umno daripada kerajaan.

Kudeta yang gagal

Pada Oktober tahun lalu, MalaysiaNow mendedahkan kandungan surat ditandatangani Zahid dan Najib bagi menyatakan sokongan kepada Anwar dalam usahanya yang gagal untuk menggulingkan kerajaan.

MalaysiaNow turut memberikan butiran kejadian yang melatari surat sokongan Zahid tersebut, termasuk pertemuannya bersama Muhyiddin dengan harapan perdana menteri dapat membantunya melepaskan diri daripada pertuduhan-pertuduhan jenayah dihadapinya.

Zahid dan Najib berdepan sekitar 80 pertuduhan mahkamah melibatkan berbilion ringgit membabitkan syarikat 1MDB, yayasan kebajikan dan dana persaraan kerajaan.

Kedua-dua mereka menggesa Umno meninggalkan pentadbiran Muhyiddin selain turut merancang usul dalam perhimpunan agung parti itu bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kerajaan PN.

Susulan perhimpunan partinya, Zahid juga dihujani kontroversi selepas sebuah rakaman perbualan antara beliau dan Anwar tersebar.

Dalam rakaman itu, beliau didengar menerima ucapan tahniah pemimpin PKR tersebut kerana berjaya mendapat sokongan perwakilan Umno untuk memutuskan hubungan dengan PN.