- Iklan -
Berita

Perhimpunan upacara pengebumian cetus kluster baru di Sarawak

Setakat ini, 88 kluster masih aktif di Sarawak ini dengan 10 daripadanya merekodkan 40 kes baru.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan di lapangan dalam operasi Covid-19 memakai pakaian pelindung lengkap. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan di lapangan dalam operasi Covid-19 memakai pakaian pelindung lengkap. Gambar: Bernama

Perhimpunan penduduk daripada beberapa buah rumah panjang dalam satu upacara pengebumian di Sri Aman telah mencetuskan satu lagi kluster baru Covid-19, kluster Gran Stumbin yang diisytiharkan di Sarawak semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata sebanyak 82 kes positif penyakit itu dikesan dari kluster berkenaan yang merupakan antara tiga kluster baru yang diisytiharkan Jabatan Kesihatan negeri itu.

“(Sebanyak) 124 kes didapati negatif dan 414 kes lagi masih menunggu keputusan makmal. Kesemua kes positif Covid-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, Hospital Sri Aman dan PKRC Sri Aman bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Dua lagi kluster baru yang diumumkan berlaku di daerah Bintulu yang melibatkan kluster Jalan Bintulu-Tatau yang 24 kes positif dikesan dan kluster Jalan Tanjung Kidurong 3, mencatatkan 33 kes positif setakat ini.

Sehingga kini, 88 kluster masih aktif di negeri ini dengan 10 daripadanya merekodkan 40 kes baru.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 57,475 berikutan 570 kes baru yang dilaporkan sementara angka korban meningkat kepada 364 orang setelah enam kematian baharu dicatatkan.