- Iklan -
Berita

Kerajaan harus perbaiki sistem CIMS 3.0, kata pemain industri

Selain langkah itu, intergrasi data SSM juga penting bagi memastikan ketelusan syarikat yang beroperasi semasa PKP3.0.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara. Hanya 30% pekerja yang dibenarkan hadir untuk bekerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan 3.0 secara penuh dibawah Essential Service dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Pekerja kilang elektronik melakukan kerja-kerja produksi di kawasan perindustrian Kota Damansara. Hanya 30% pekerja yang dibenarkan hadir untuk bekerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan 3.0 secara penuh dibawah Essential Service dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Pemain industri menggesa Putrajaya menambah baik sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, sistem yang bertanggungjawab ke atas prosedur operasi standard (SOP) perniagaan semasa sekatan pergerakan penuh bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan ketelusan syarikat yang memohon untuk beroperasi.

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai berkata cadangan itu dikeluarkan susulan laporan yang timbul mengenai syarikat dan pengilang yang memanipulasikan surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Katanya, CIMS3.0 dijana oleh Institut Automatif, Robotik dan Internet Benda Malaysia (MARii) di bawah Miti, dan kementerian itu memegang sistem tersebut untuk 17 kementerian lain.

“(Bagaimanapun) Miti hanya bertanggungjawab untuk perkhidmatan dan sektor berkaitan perkilangan manakala kementerian dan agensi lain akan memberikan kelulusan permohonan menggunakan CIMS 3.0.

“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya cadangkan setiap kelulusan dikeluarkan di bawah satu platform (MKN) yang boleh diterima semua. Ini kerana MKN di bawah Jabatan Perdana Menteri ialah pihak berkuasa yang menguruskan prosedur operasi standard (SOP) ketika krisis kesihatan ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Soh turut menggesa kerajaan memasukkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan pengesahan jenis-jenis perusahaan.

Selain itu, katanya pengilang juga boleh diwajibkan mengepil lesen pengilangan ketika membuat permohonan.

Media melaporkan sebuah kilang helmet dikenakan kompaun RM10,000 selepas mendakwa menghasilkan sut PPE.

Terdapat juga laporan perniagaan fotografi diberikan kelulusan meskipun tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu.

Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, pengasas bersama SCRUT dan Interepo yang menawarkan perkhidmatan pangkalan data dalam talian berkata, tidak sesukar mana untuk data SSM diintegrasikan ke dalam CIMS 3.0.

“Apa yang mereka perlu lakukan hanyalah meminta application programming interface (API) daripada SSM untuk dimasukkan ke dalam sistem CIMS3.O,” katanya.

Turut melahirkan kegusaran terhadap isu itu, Presiden Persatuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata penalti yang dikenakan perlu dikaji kepada jumlah yang lebih tinggi berbanding RM10,000 yang dikenakan terhadap syarikat pembuat helmet itu.

“Bagi mengelakkan perkara tersebut berulang, Miti mungkin perlu meminta salinan jenis perniagaan yang produk yang dihasilkan semasa syarikat menghantar permohonan dalam CIMS3.0,” katanya.

Bagaimanapun, penasihat Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia Ameer Ali Mydin berkata isu yang lebih besar membabitkan CIMS 3.0 ialah tempoh waktu menunggu kelulusan terlalu lama.

Katanya, peniaga tidak boleh dimangsakan dengan kelewatan tempoh menunggu kelulusan hanya kerana terdapat beberapa pengusaha yang tidak jujur.

“Kita tidak boleh hentikan industri hanya kerana satu dua syarikat yang tidak jujur. Kita harus berfikir yang majoriti syarikat masih telus dan hanya mahu berbisnes.

“Saya mencadangkan agar kerajaan memberikan kelulusan mengikut kriteria sedia ada, dan kemudian tingkatkan penguatkuasaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, banyak peniaga yang tidak dikategorikan sebagai keperluan kini sedang menunggu kelulusan untuk beroperasi secara dalam talian.

Lebih 120,000 syarikat dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 3.0 membabitkan 1.57 juta pekerja daripada keseluruhan 10.2 juta yang berdaftar dalam CIMS 3.0.

Sebelum ini, Miti menubuhkan pusat operasi khas turut memastikan penyelarasan CIMS 3.0  kelancaran permohonan beroperasi selaras dengan SOP PKP 3.0