- Iklan -
Berita

Covid-19, kes mahkamah berprofil tinggi pertimbangan lebih besar bagi PM berbanding pendirian Raja Melayu

Chandra berkata bukanlah satu hal yang luar biasa bagi seorang perdana menteri membuat beberapa pertimbangan politik melibatkan parti komponen kerajaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan langkah menangani Covid-19 sepanjang darurat. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan langkah menangani Covid-19 sepanjang darurat. Gambar: Bernama

Pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar tidak melihat gesaan Raja-Raja Melayu supaya Parlimen bersidang semula sebagai sebuah penolakan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), mengatakan perdana menteri sudah pun membentangkan susur masa yang spesifik ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara Selasa lalu.

Chandra turut berkata walaupun dua kenyataan berasingan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dilihat tidak menunjukkan sebarang pengiktirafan terhadap usaha-usaha kerajaan bagi membendung pandemik Covid-19, wujud beberapa faktor lebih besar yang akan mempengaruhi keputusan Muhyiddin dalam membuat keputusan membuka semula Parlimen.

“Saya fikir apa yang menjadi kebimbangan utamanya adalah program vaksinasi. Jika berjaya capai sasaran dengan 40% atau 50% populasi divaksinasi menjelang Oktober, maka saya fikir dia akan teruskan. Tapi sebaliknya, situasi masih buruk. Dia mungkin akan berkira-kira untuk tunda beberapa matlamat,” kata Chandra dalam sebuah program wawancara isu semasa Consider This di Astro Awani semalam.

Susulan perbincangan khas Raja-Raja Melayu semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-Raja Melayu mengeluarkan dua kenyataan berasingan mengesyorkan Parlimen bersidang semula dan perintah darurat tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos depan.

Perbincangan khas itu adalah susulan pertemuan Sultan Abdullah bersama pemimpin-pemimpin parti politik daripada kerajaan dan pembangkang.

Sehari sebelumnya, Muhyiddin membentangkan strategi kerajaan dalam memulihkan negara yang meletakkan sasaran Parlimen dibuka pada September atau Oktober depan tertakluk kepada sistuasi pandemik dan kadar program vaksinasi besar-besaran.

Chandra berkata bukanlah satu hal yang luar biasa bagi seorang perdana menteri untuk membuat beberapa pertimbangan politik termasuk mengenai Umno yang berpecah ketika ini.

“Perdana menteri mana pun akan bimbang,” katanya dan menambah pada ketika ini wujud sekurang-kurangnya tiga kumpulan dalam Umno yang “mempunyai pandangan berbeza dalam setiap isu”.

Chandra Muzaffar.

Chandra berkata beberapa kes berprofil tinggi pemimpin Umno bakal menerima keputusan pada Oktober depan.

“Perkara ini tentunya menjadi pertimbangan dalam keputusan PM. Hal ini mungkin jadi sebab mengapa beliau letakkan Oktober sebagai tarikh untuk buka semula Parlimen,” tambahnya.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kedua-duanya yang pada ketika ini berdepan hukuman penjara dan larangan berpolitik ekoran beberapa pertuduhan rasuah, mengetuai serangan-serangan terhadap Muhyiddin sejak beberapa bulan lalu.

Pendirian menentang kerajaan semakin tajam selepas sabitan Najib bagi tujuh pertuduhan melibatkan skandal 1MDB.

Najib dan Zahid juga menulis surat kepada Istana Negara, menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekali gus menggulingkan Muhyiddin.

Chandra berkata mereka yang menghadapi pertuduhan-pertuduhan di mahkamah memiliki motif tersendiri ketika menggesa kerajaan untuk membuka semula Parlimen.

“Ini adalah salah satu daripada alasan kenapa ada beberapa orang menggesa supaya Parlimen bersidang semula,” tambahnya.

Chandra juga turut berkata mereka yang menggesa persidangan semula Dewan Rakyat harus komited dengan proses demokratik dan jujur ketika memperdebatkan atau membincangkan isu-isu negara.

“Jadi sekarang, jika mereka mahu gunakan Parlimen untuk tujuan lain kerana ada motif lain, mungkin motif-motif yang berkait dengan kes-kes mahkamah mereka, masa depan politik mereka dan lain-lain, itu adalah satu hal yang menyedihkan.

“Ini adalah satu perkara yang menjadi hakikat politik Malaysia. Wujud agenda-agenda jahat sebegini rupa,” katanya.