Thursday, August 5, 2021

Raja-Raja Melayu syorkan tiada keperluan lanjutkan darurat

Raja-Raja Melayu mahu suhu politik dalam negara diredakan.

Other News

Persidangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini mengesyorkan tiada keperluan melanjutkan darurat selepas 1 Ogos 2021, kata Syed Danial Syed Ahmad.

Penyimpan mohor besar Raja-Raja Melayu itu berkata, Raja-Raja Melayu sependapat dalam sembilan perkara berhubung nyawa dan kehidupan rakyat, peningkatan program vaksinasi, program membendung wabak Covid-19, dan kestabilan kerajaan yang mendapat keyakinan majoriti rakyat.

Kesemua perkara tersebut haruslah mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

“Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan. Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat. Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021,” kata Syed Danial dalam satu kenyataan hari ini.

“Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara eksekutif, cabang legislatif dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.”

Dalam pada itu katanya, Raja-Raja Melayu turut mengambil maklum beberapa perkara berhubung suasana politik negara yang tidak stabil, keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan, keretakan perpaduan rakyat dan beberapa perkara berhubung aktiviti keagamaan umat Islam.

“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles