- Iklan -
Berita

Pencipta lagu Sabah, Sarawak tuntut pampasan bayaran royalti

Mereka berkata bayaran royalti yang diterima mereka tidak setimpal dengan kerja kreatif yang mereka hasilkan sehingga ada yang menerima serendah RM13 setahun.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Pemuzik Iban memainkan sape, alat muzik tradisional di Waterfront, sebuah lokasi pelancongan di  Kuching, Sarawak dalam gambar yang diambil pada 1 September, 2006. Pencipta lagu di Sarawak dan Sabah berkata mereka tidak mendapat bayaran royalti setimpal bagi hasil kerja kreatif mereka.
Pemuzik Iban memainkan sape, alat muzik tradisional di Waterfront, sebuah lokasi pelancongan di Kuching, Sarawak dalam gambar yang diambil pada 1 September, 2006. Pencipta lagu di Sarawak dan Sabah berkata mereka tidak mendapat bayaran royalti setimpal bagi hasil kerja kreatif mereka.

Pencipta lagu dan komposer di Sarawak dan Sabah menyuarakan kekecewaan mereka mengenai ketidakadilan berhubung agihan bayaran royalti.

Bercakap dalam sebuah webinar mengenai langkah-langkah mengembalikan hasil bakat kreatif dan usaha melindungi hakcipta intelek, mereka turut mengecam badan pengutip royalti (CMO), badan yang dilesenkan kerajaan untuk mengutip dan mengagihkan bayaran royalti.

Di samping itu, para peserta webinar turut mendesak kerajaan persekutuan untuk menyerahkan pengurusan royalti kepada Music Rights Sabah (MRS) dan Music Right Sarawak Bhd (MRSB).

Wilfred Medius Tengau dari Wisdom Foundation berkata sejak tiga dekad lalu, CMO telah menyebabkan golongan artis dan ahli muzik di Sabah dan Sarawak tidak menerima hak mereka.

Beliau turut berkata badan itu juga gagal berfungsi secara efektif sebagai badan pengutip royalti, menegaskan ia adalah sebuah isu yang hanya boleh disuarakan pencipta lagu dan ahli muzik tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan ketelusan dalam operasinya dengan mendakwa artis-artis di Timur Malaysia hanya menerima serendah RM13 setahun bagi hasil kerja kreatif mereka.

“Berdasarkan data dari 2017 yang disediakan Score, tarif perlesenan muzik di Malaysia bagi premis awam lebih daripada cukup untuk membayar royalti artis Sabah dan Sarawak.

“Kami tuntut pembayaran royalti yang setimpal dengan karya kreatif mereka, ini adalah kebimbangan yang sangat penting. Sangat tidak patut lagu-lagu dari Sabah dan Sarawak hanya dapat RM 13 setahun bayaran royalti,” katanya.

Asmin Mudin, pencipta lagu tema melawat Sabah, “Sayang Kinabalu”, berkata isu ini sudah lama berlarutan.

Beliau bersetuju sebahagian masalah tersebut berpunca daripada dokumentasi yang tidak teliti dan kontrak-kontrak artis, namun beliau berkata artis tetap memiliki hak untuk mendapat royalti.

Dengan penghasilan 9,000 lagu etnik dari dua negeri itu, beliau berkata adalah penting bagi pihak berkuasa mengadakan mekanisme badan pengutip royalti yang berstruktur dan telus.

“Pada 2017, Fabian William, warga Sabah yang menulis ‘Id Pagandadan’ hanya menerima royalti sebanyak RM14.57 walaupun dimainkan secara terbuka di tempat awam,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, yang sudah dimaklumkan mengenai perkara ini berkata situasi tersebut boleh disamakan dengan isu salah guna kuasa.

Beliau juga berkata pihaknya akan membawa isu memecahkan kuasa pusat CMO dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau turut menjelaskan kerajaan sedang mengambil pendekatan holistik dalam meningkatkan ketelusan dalam pengutipan royalti dengan mengutamakan kebertanggungjawapan dan tadbir urus yang cekap sebagai teras utama polisinya.

“Kami komited untuk memantau badan tersebut agar imbuhan yang setimpal dapat dikendalikan dengan aliran pendapatan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah pun mengarahkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mengumpulkan maklumat dalam sebuah kertas kerja bagi dibentangkan pada akhir tahun ini.

“Melalui pendekatan profesional, kami harap MyIPO sebagai sebuah badan yang melindungi harta intelek akan beri manfaat kepada negara dan individu.”

Beliau berkata pihaknya juga mahu terus berhubung dengan kumpulan-kumpulan muzik di Sabah dan Sarawak.

Pengerusi MyIPO Mohamad Alamin berkata menyerahkan lesen pengutipan royalti kepada cawangannya di kedua-dua negeri itu telah pun diluluskan menteri.

“Arahan terakhir saya kepada jabatan hak cipta adalah kita bersetuju untuk mengeluarkan deklarasi atau lesen kepada CMO Sabah dan Sarawak.

“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada menteri dan mengarahkan jabatan hak cipta untuk proses dan bincang perkara ini dengan CMO di Sabah dan Sarawak mengenai langkah-langkah pelaksanaannya,” katanya.