Tuesday, August 3, 2021

PM umum 4 fasa pelan pemulihan negara, sasar sidang Parlimen September depan

Transisi antara fasa-fasa adalah berdasarkan beberapa indikator termasuk kadar jangkitan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan kapasiti sistem kesihatan awam negara.

Other News

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan empat fasa pemulihan negara dengan mensasarkan sidang Parlimen dibuka semula dalam fasa ketiga yang dijangka akan bermula sekitar bulan September atau Oktober depan.

Dalam perutusannya hari ini, Muhyiddin berkata fasa ketiga pelan pemulihan itu akan menyaksikan beberapa sektor akan dibuka semula termasuk Parlimen yang digantung sejak darurat diisytiharkan Januari lalu

“Saya ingin menyatakan komitmen saya di sini bahawa sidang parlimen dapat diadakan selama fasa ini pada bulan September atau Oktober, dengan tunduk pada SOP yang ketat.

“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok,” katanya dalam perutusan khas untuk mengumumkan butiran pelan pemulihan negara hari ini.

Muhyiddin juga turut berikrar untuk menegakkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Muhyiddin berkata peralihan antara fasa akan bergantung kepada situasi Covid-19 dalam negara.

Beliau berkata fasa pertama yang sedang dijalankan sekarang, kebanyakan sektor sosial dan ekonomi ditutup di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), ia akan diikuti oleh fasa kedua berdasarlan pada beberapa indikator.

Ia termasuk jangkitan harian yang menurun di bawah angka 4,000, Sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan kadar penerima vaksin lengkap mencecah 10% populasi dalam negara.

Di bawah fasa kedua, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80% di premis selain lebih banyak sektor perniagaan dibenarkan dibuka.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata larangan perjalanan rentas negeri dan aktiviti sosial akan masih tidak dibenarkan.

Beliau berkata fasa ketiga akan menyaksikan semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi, kecuali sektor berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19.

Namun fasa ketiga hanya berlaku apabila kes harian menurun sehingga paras angka bawah 2,000 jangkita, dan 40% populasi negara telah menerima vaksin lengkap.

“Nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021,” tambahnya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa kerajaan akan terpaksa menunda peralihan fasa-fasa ini jika tiga indikator utama – kes harian, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi – tidak mencapai sasarannya.

“InsyaAllah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada Fasa Keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat. Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin,” kata Muhyiddin.

Beliau juga berkata bahawa dirinya memahami ramai rakyat Malaysia terjejas akibat wabak ini sama ada secara fizikal mahu pun emosi.

“Ada di antara anda yang kehilangan orang tersayang, berkurang punca pendapatan dan diselubungi keresahan yang berpanjangan. Namun kita jangan sekali-kali mengalah. Kita perlu terus berjuang, bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan pelan pemulihan negara.

“Saya berjanji kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar, supaya dapat bersama-sama kita keluar dari kemelut pandemik ini secepat mungkin.”

Sekatan pergerakan penuh yang berjalan ketika ini dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Ia dijadualkan berakhir pada 14 Jun namun dilanjutkan sehingga 28 Jun berikutan trend jangkitan harian yang masih menunjukkan paras angka sekitar 5,000 sehari.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles