- Iklan -
Berita

PBRS, Upko kemuka keperluan segerakan vaksinasi ketika mengadap Agong

Mereka sependapat bahawa pelbagai langkah pengukuhan perlu dilaksana bagi memastikan program vaksinasi lebih berkesan di Sabah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pertemuan bersama Agong yang bakal diadakan di Istana Negara hanyalah satu pertemuan rutin mengenai wabak Covid-19 sepanjang darurat berkuatkuasa di seluruh negara. Gambar: Bernama
Pertemuan bersama Agong yang bakal diadakan di Istana Negara hanyalah satu pertemuan rutin mengenai wabak Covid-19 sepanjang darurat berkuatkuasa di seluruh negara. Gambar: Bernama

Keperluan melaksanakan segera vaksinasi Covid-19 di Sabah terutama di kawasan pedalaman antara fokus penting yang dikemukakan oleh PBRS dan Upko ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam.

Dalam sesi menghadap Seri Paduka dalam talian secara berasingan, Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau sependapat bahawa pelbagai langkah pengukuhan perlu dilaksana bagi memastikan program vaksinasi lebih berkesan di Sabah.

Arthur berkata Sabah masih menjadi antara negeri paling rendah dalam aspek pendaftaran vaksin di negara ini antaranya disebabkan faktor geografi serta infrastruktur jalan raya dan kemudahan Internet yang kurang efisien di negeri itu.

“Bagaimanapun, program pendaftaran secara manual dijalankan di pedalaman seperti di Pensiangan supaya rakyat boleh didaftarkan menerima vaksin selain program vaksinasi bergerak untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk kampung.

“Saya diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka bagi mengemukakan beberapa pendapat dan ini menunjukkan keprihatinan Tuanku kepada rakyat Malaysia di Sabah,” katanya.

Beliau berkata Agong amat prihatin terhadap isu berkaitan Covid-19 dan cara menanganinya serta cabaran program vaksinasi di kawasan terpencil.

Arthur, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan ahli Parlimen Pensiangan, berkata beliau turut mengemukakan pendapat mengenai keadaan ekonomi semasa termasuk aspek kadar pengangguran dan Keluaran Dalam Negara Kasar selain kesan pandemik Covid-19 kepada rakyat di pedalaman Sabah.

Madius, yang juga ahli Parlimen Tuaran, pula berkata beliau mengemukakan kepada Agong mengenai keperluan penglibatan secara langsung jentera kerajaan negeri dan sektor korporat dalam proses menyegerakan proses vaksinasi di Sabah.

“Beri peluang kepada kerajaan negeri beli vaksin dan jalankan program vaksinasi sendiri, begitu juga bagi sektor korporat yang mampu seperti GLC (syarikat berkaitan kerajaan), dia boleh beli vaksin dan berikan vaksin kepada petugas,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian semalam.

Beliau berkata selain itu, kerajaan harus menyegerakan proses kelulusan kepada lebih banyak jenis vaksin.

Madius berkata beliau turut memaklumkan Agong mengenai keperluan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen yang baik bagi memastikan semua ahli Parlimen termasuk pembangkang diberi tanggungjawab dalam membuat keputusan memandangkan usaha memerangi Covid-19 memerlukan kestabilan politik.

“Beri peluang kepada pemimpin pembangkang untuk turut duduk bersama dalam Majlis Keselamatan Negara terutama ahli Parlimen yang lebih kanan bagi bersama-sama memberi pandangan mengenai cara menangani Covid-19 dan juga mengatasi pelbagai isu berbangkit terutama yang melibatkan rakyat serta ekonomi.

“Moratorium juga perlu dilaksanakan semula secara menyeluruh bukannya bersasar atau bersyarat bagi pinjaman bank kepada syarikat dan individu selain pemberian peranti komputer riba (kepada pelajar) perlu dipercepat dan capaian jalur lebar diperluas terutama di kawasan pedalaman,” katanya.