Tuesday, July 20, 2021

Kerajaan luluskan 2 lagi jenis vaksin untuk kegunaan semasa bencana, Pfizer untuk kanak-kanak

Mesyuarat bersama NPRA hari ini memberikan kelulusan pendaftaran vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.

Other News

Kerajaan hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana dua jenis vaksin Covid-19 satu dos dari China, CanSino dan Johnson & Johnson selain memberikan lampu hijau kepada vaksin Pfizer untuk kegunaan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.

Dalam sebuah kenyataan hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) Kali Ke-359.

Beliau turut berkata suntikan Pfizer sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

“Walaupun tambahan indikasi ini diluluskan, KKM berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” kata Noor Hisham.

Vaksin Cansino atau Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine merupakan keluaran syarikat CanSino Biologics Inc dari China, sementara vaksin Janssen Covid-19 merupakan vaksin keluaran syarikat Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat

Kedua-dua vaksin itu hanya memerlukan satu suntikan pelalian.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” tambahnya.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin pada Mac lalu berkata kerajaan mungkin menggugurkan suntikan Johnson & Johnson daripada portfolio program vaksinnya memetik kebimbangan mengenai penghantaran yang perlahan daripada pihak pembekal.

“Kemungkinan pemerolehan vaksin Johnson & Johnson akan digugurkan kerana mereka hanya boleh hantar (bekalan) menjelang akhir tahun ini. Itu sudah terlalu lambat bagi kita,” katanya dalam sidang media 8 Mac lalu.

Selain itu, Khairy berkata, kerajaan akan meneruskan rundingan dengan Cansino Biologics Inc untuk mendapatkan vaksin keluaran syarikat itu yang hanya memerlukan satu dos.

Pada 2 Mac lalu, PBKD meluluskan pendaftaran bersyarat tiga vaksin Covid-19 bagi kegunaan ketika bencana termasuk AstraZeneca; Sinovac; dan Comirnaty keluaran Pfizer-BionTech

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles