- Iklan -
Berita

PM New Zealand tak setuju pembikinan filem serangan masjid, tumpu wataknya

Menurut Jacinda Ardern, kejadian serangan itu adalah kisah tentang komuniti dan keluarga mangsa serangan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern (tengah) melambai tangan ketika melawat tempat kejadian serangan di dua masjid yang terletak di Christchurch, New Zealand. 51 mangsa terbunuh manakala 40 cedera dalam serangan tersebut. Gambar: AP
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern (tengah) melambai tangan ketika melawat tempat kejadian serangan di dua masjid yang terletak di Christchurch, New Zealand. 51 mangsa terbunuh manakala 40 cedera dalam serangan tersebut. Gambar: AP

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengkritik sebuah pembikinan filem yang memaparkan respons beliau terhadap serangan masjid Christchurch pada 2019 menyifatkan pembikinannya tidak sesuai pada masa ini dan satu penumpuan terhadap perkara yang salah.

Filem “They Are Us” yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu menimbulkan kecaman hebat dalam kalangan umat Islam di New Zealand dengan pemimpin komuniti membantah projek yang didakwa cuba mengetengahkan naratif “penyelamat kulit putih”.

Ardern berkata, serangan lelaki kulit putih yang bersenjata di dua masjid ketika solat Jumaat dan membunuh 51 orang selain mencederakan 40 lagi mangsa kekal sebagai kejadian yang “lukanya masih lagi berdarah” bagi rakyat New Zealand.

Beliau mendakwa, pembikin filem yang dibintangi pelakon Australia, Rose Byrne sebagai dirinya itu tidak pernah berunding dengan pihaknya.

“Pada pandangan saya, yang juga pandangan peribadi ia (pembikinannya) masih terlalu awal. Dan lukanya pun masih berdarah.

“Saya rasa banyak lagi cerita yang boleh disampaikan ketika ini, dan cerita tentang bukanlah saya yang perlu ditonjolkan. Ia adalah cerita mengenai komuniti dan cerita keluarga,” katanya kepada TVNZ.

Ardern sebelum ini dipuji kerana mempamerkan sikap empati ketika menangani tragedi serangan terburuk dalam sejarah moden New Zealand, seperti memakai skaf kepala ketika bertemu keluarga mangsa.

Judul filem itu merujuk kepada ungkapan yang disebut dalam ucapan Ardern ketika kejadian tersebut, beliau juga memberi sokongan penuh terhadap masyarakat Islam selain berikrar untuk mengetatkan undang-undang senjata api.

Sebelum ini, satu petisyen daripada Persatuan Pemuda Islam Nasional Autralia dilakukan untuk menghentikan penerbitan filem itu dan berjaya mendapat lebih 58,000 tandatangan.

Mereka mendakwa, filem itu mengabaikan mangsa serta mereka yang selamat, sebaliknya memberi fokus terhadap tindakan seorang wanita berkulit putih.

Katanya, komuniti Muslim juga tidak dijelaskan mengenai projek yang skripnya ditulis penulis skrip New Zealand, Andrew Niccol.

“Entiti dan individu tidak seharusnya mengkomersialkan atau memperoleh keuntungan daripada tragedi yang menimpa masyarakat kita dan kekejaman itu tidak perlu disensasikan,” kata pengerusi persatuan itu, Haris Murtaza.