Thursday, October 21, 2021

Pemohon bantuan Prihatin tidak lulus boleh rayu mulai esok

Rayuan boleh dilakukan bermula esok hingga 30 Jun depan.

Other News

Tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang tidak diluluskan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata pemohon boleh mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan ketika mengumumkan Pemerkasa Plus berkata sebanyak RM2.1 bilion BPR Tambahan diperuntukkan untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada.

Justeru, pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata permohonan rayuan boleh dibuat menerusi beberapa kaedah iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDNM, https://bpr.hasil.gov.my.

Selain itu rayuan juga boleh dilakukan dengan penghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual di cawangan atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau di Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran secara janji temu sahaja (tertakluk kepada prosedur operasi standard semasa kaunter perkhidmatan kerajaan).

“Setelah pangkalan data BPR dikemas kini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos 2021 (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3).

“Pemohon rayuan BPR boleh merujuk Soalan Lazim yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR (https://bpr.hasil.gov.my) bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini, RM4.6 bilion bantuan BPR telah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada Februari, Mac dan Mei tahun ini.

Bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada September 2021.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles