- Iklan -
Berita

PAS senada Umno tidak desak adakan segera PRU15

Takiyuddin berkata cadangan itu amat tepat dan kena pada masanya, kerana fokus seluruh jentera kerajaan persekutuan serta negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

PAS senada dengan saranan Umno untuk tidak mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat, ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19 yang dianggap satu darurat besar.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata cadangan itu amat tepat dan kena pada masanya, kerana fokus seluruh jentera kerajaan persekutuan serta negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19, yang belum reda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini, bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman semalam yang berkata, parti itu tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional untuk mengadakan PRU15 dalam waktu terdekat, kerana ia hanya akan menyukarkan usaha kerajaan memerangi penularan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan tanpa mengira fahaman serta aliran pemikiran, membantu kerajaan menguruskan dan menyelesaikan wabak Covid-19.

Beliau berkata kerjasama itu termasuk mengelakkan isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan.

“PAS yakin kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia,” kata Takiyuddin.