- Iklan -
Berita

Kerajaan hanya longgar SOP PKP mengikut metrik risiko kementerian kesihatan

Kelonggaran SOP PKP ketika ini akan dipertimbangkan selepas kes harian menurun bawah 4,000 jangkitan.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Persimpangan lampu isyarat berhampiran KLCC kelihatan lengang dari kunjungan orang ramai berikutan perintah kawalan pergerakan secara penuh bermula pada 1 Jun dan dilanjutkan sehingga 28 Jun 2021.
Persimpangan lampu isyarat berhampiran KLCC kelihatan lengang dari kunjungan orang ramai berikutan perintah kawalan pergerakan secara penuh bermula pada 1 Jun dan dilanjutkan sehingga 28 Jun 2021.

Kerajaan hari ini berkata sebarang keputusan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) sekiranya angka jangkitan harian menurun di bawah 4,000 akan dirujuk kepada tahap metrik risiko kementerian kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata metrik tersebut akan dipertimbangkan mengikut beberapa faktor pertimbangan sebelum langkah-langkah PKP dilonggarkan.

Metrik risiko tersebut termasuk kadar kes jangkitan harian, jumlah kematian, dan kadar positiviti dan kapasiti petugas barisan hadapan dan hospital.

“Metrik risiko yang kita ambil ialah kes jangkitan 8,000 ke atas perlu ‘total lockdown’, 4,000 ke 8,000 kes untuk PKP,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Metrik-metrik ini digunakan untuk merancang perkara-perkara yang dirancang untuk tindakan berkaitan kesihatan awam.”

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk melonggarkan SOP sekatan pergerakan penuh jika kes jangkitan harian menurun sehingga bawah 4,000.

“Bukan bermakna kita tamatkan PKP, tapi mungkin kita ‘review’ balik dari segi SOP yang mana boleh kita longgarkan sedikit,” katanya sambil menambah kementerian pertahanan akan mencadangkan perkara tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara.

Sekatan pergerakan penuh dilaksanakan pada 1 Jun lalu dijadualkan berakhir hari ini, namun ia dilanjutkan sehingga 28 Jun depan susulan trend kes jangkitan harian masih tidak menyusut dari 5,000 kes.