Sunday, July 25, 2021

Agong bertindak ikut nasihat kerajaan, kata bekas hakim kanan berhubung darurat

Gopal Sri Ram berkata sama ada darurat ditamatkan atau Parlimen bersidang semula, Perlembagaan jelas menetapkan kerajaan boleh buat keputusan.

Other News

Sebarang keputusan untuk menamatkan perintah darurat sememangnya terletak di tangan kerajaan pada ketika ini, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan terkemuka susulan timbul semula perbahasan mengenai kuasa Perlembagaan Agong.

Gopal Sri Ram, peguam terkemuka yang berkhidmat sebagai pendakwa raya ad hoc di bawah kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional ketika ini berkata, Agong tidak memiliki kuasa budi bicara melainkan dalam tiga perkara: pelantikan perdana menteri, pembubaran Parlimen, dan penganjuran mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata tiga perkara budi bicara ini jelas termaktub dalam Artikel 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya dalam tiga perkara ini sahaja Agong memiliki budi bicara. Perkara-perkara lain, beliau harus bertindak mengikut nasihat Kabinet,” kata Sri Ram kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini Sri Ram pernah mewakili pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dalam rayuan kes liwat dan turut pernah dilantik kerajaan sebagai ketua pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor dan beberapa lagi tokoh yang terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB.

Ketika ditanya mengenai anggapan diuar-uarkan sebahagian ahli politik dan sekutu-sekutu mereka dunia perundangan yang mengatakan Agong memiliki kuasa menetapkan persidangan semula sesi Dewan Rakyat, Sri Ram menegaskan tidak ada peruntukan kuasa sedemikian.

“Tiada pilihan lain. Agong mesti bertindak mengikut nasihat Kabinet. Itu menjawab semua persoalan anda,” katanya.

Beliau merujuk Artikel 40 dalam Perlembagaan yang menyebut Agong akan bertindak “mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri”.

“Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu,” kata klausa 1A Artikel 40 dalam Perlembagaan.

Sri Ram berkata dalam isu kuasa Agong untuk melanjutkan darurat, prinsip Perlembagaan tersebut turut terpakai.

“Semuanya dikawal oleh Kabinet,” kata bekas hakim tersebut yang berkhidmat di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dan pernah menghakimi lebih 800 kes mahkamah.

Beliau dianggap sebagai tokoh utama perundangan baik di mahkamah Malaysia mahu pun mahkamah Komanwel.

Sri Ram berkata tidak ada persoalan mengenai keabsahan undang-undang darurat yang dikuatkuasakan ketika ini walaupun proses Parlimen tidak berjalan.

Ini merupakan responsnya terhadap rungutan menggunakan Artikel 150 (3) yang mengatakan proklamasi darurat mesti dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dituruti.

Katanya, sebarang proklamasi perlu dibentangkan di Parlimen mengikut Perlembagaan hanya apabila ia bersidang.

“Jadi apabila sidang Parlimen ditangguhkan, darurat boleh diteruskan,” tambahnya.

Pandangan Sri Ram ini menjawab pelbagai cadangan ahli politik berhubung usaha membendung virus Covid-19 susulan keputusan Agong untuk bertemu pemimpin parti-parti politik baru-baru ini.

Ketika ini, Dr Mahathir Mohamad menggesa untuk penubuhan Mageran mirip seperti yang pernah ditubuhkan pada 1969 susulan rusuhan kaum, Pemimpin PH pula menggesa supaya perintah darurat ditamatkan dan Parlimen harus segera bersidang.

Proklamasi darurat diisytiharkan pada Januari lalu selepas peningkatan mendadak kes Covid-19 selain beberapa ancaman dari sekumpulan ahli Parlimen Umno untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin bagi menggulingkan beliau.

Disebabkan blok pembangkang tidak memiliki angka majoriti untuk menubuhkan kerajaan, langkah itu boleh menyebabkan berlakunya pilihan raya mengejut, sebuah senario yang beberapa kali diberikan amaran Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah agar dielakkan.

Muhyiddin dinamakan sebagai perdana menteri oleh Agong susulan kejatuhan kerajaan PH pada awal 2020 juga berjanji mengadakan pilihan raya bergantung situasi wabak Covid-19 dalam negara.

Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, kes Covid-19 terus meningkat.

Ledakan wabak itu menyebabkan kerajaan bersetuju untuk mengambil langkah lebih ketat dengan mengenakan sekatan pergerakan penuh bulan lalu bagi mengurangkan tekanan petugas kesihatan dan fasiliti hospital di seluruh negara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles