- Iklan -
Berita

Trak vaksin digerakkan minggu hadapan, sasar peniaga dan pekerja di pasar

Menteri wilayah yakin sasaran 30,000 suntikan vaksin sehari mampu dicapai menerusi pertambahan PPV mega, selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui trak bergerak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga emas duduk dikerusi roda ditolak oleh ahli keluarganya untuk menerima suntikan vaksin didalam bas bergerak di Pangsapuri PKNS, Kampung Baru.Mobiliti vaksinasi Covid-19 ini merupakan Program Wilayah Prihatin yang dijalankan disekitar kawasan miskin bandar Wilayah Persekutuan dan memberi keutamaan kepada warga emas dan orang kelainan upaya.
Seorang warga emas duduk dikerusi roda ditolak oleh ahli keluarganya untuk menerima suntikan vaksin didalam bas bergerak di Pangsapuri PKNS, Kampung Baru.Mobiliti vaksinasi Covid-19 ini merupakan Program Wilayah Prihatin yang dijalankan disekitar kawasan miskin bandar Wilayah Persekutuan dan memberi keutamaan kepada warga emas dan orang kelainan upaya.

Golongan peniaga dan pekerja di pasar borong, pasar harian dan penjaja, bakal menerima vaksin menerusi program Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah mulai minggu hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, golongan tersebut adalah antara individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 walaupun dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

“Walaupun kes pasar borong mencecah ratusan kes, tetapi operasinya tidak boleh dihentikan. Oleh itu mereka ini akan disenaraikan dalam siri kedua program itu untuk diberikan vaksin melalui trak bergerak, yang yang akan terus ke lokasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Perumahan Awam (PA) Seri Johor semalam.

Kira-kira 600 penduduk di PA berkenaan terutamanya golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU), menerima suntikan vaksin menerusi program itu.

Annuar berkata, program itu adalah antara beberapa inisiatif dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan, dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera.

“Mulai 15 Jun ini, kita menetapkan sasaran 30,000 hingga 33,000 suntikan sehari berbanding 7,000 hingga 10,000 suntikan sehari di Kuala Lumpur, sebagai usaha mencapai sasaran 80 peratus telah divaksin menjelang 31 Ogos ini,” katanya.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan pusat pemberian vaksin (PPV) mega, selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui trak bergerak.