- Iklan -
Berita

Malaysia rekod 5,793 kes baru, 76 korban Covid-19 termasuk wanita berusia 101 tahun

76 korban akibat Covid-19 dicatatkan hari ini sementara lebih 900 dimasukkan ke ICU.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas perubatan tentera memberi vaksin kepada penduduk di dalam Kem Sungai Besi dan anggota tentera secara pandu lalu.
Petugas perubatan tentera memberi vaksin kepada penduduk di dalam Kem Sungai Besi dan anggota tentera secara pandu lalu.

Malaysia merekodkan kes baru sebanyak 5,793 menjadikan kes keseluruhan Covid-19 meningkat sebanyak 652,204.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 1,582 disusuli Negeri Sembilan (618), Sarawak (569), Kuala Lumpur (559), Johor (504), Sabah (378), Kelantan (337).

Hanya Perlis (5) sahaja yang mencatatkan kes satu digit hari ini.

Negara juga mencatat sebanyak 8,334 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 572,113.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula kini berjumlah 76,247.

Dalam pada itu, 914 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 459 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Malaysia turut mencatat 76 lagi korban akibat Covid-19, termasuk seorang wanita berusia 101 tahun menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 3,844.