- Iklan -
Berita

Harimau Malaya tewas 1-2 kepada Vietnam

Malaysia hilang peluang untuk menduduki dua tempat teratas dalam Kumpulan G.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia tewas 2-1 kepada Vietnam. Gambar: FAM
Malaysia tewas 2-1 kepada Vietnam. Gambar: FAM

Skuad Harimau Malaya terpaksa menempuh laluan kelayakan yang lebih panjang ke Piala Asia 2023 apabila tewas tipis 1-2 kepada Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi ini.

Kekalahan keempat Malaysia dalam lima pertemuan menentang Vietnam sejak Park Hang-seo mengambil alih pasukan itu pada 2017, menyaksikan Malaysia hilang peluang untuk menduduki dua tempat teratas dalam Kumpulan G.

Daripada lapan kumpulan, hanya pasukan di tempat teratas dan empat pasukan terbaik di tempat kedua akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, sekali gus layak secara automatik ke Piala Asia, manakala pasukan lain terpaksa menempuhi satu lagi pusingan kelayakan ke Piala Asia.

Pada aksi hari ini, keputusan ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe yang meletakkan gandingan Brendan Gan dan Muhammad Syafiq Ahmad di tengah, dilihat mampu menguasai perlawanan pada babak pertama, namun gagal dalam mencabar gawang gol Vietnam.

Skuad Naga Emas itu memberi amaran awal menerusi serangan jarak jauh pemain pertahanan, Van Hau Doan pada minit ke-10, yang tersasar ke bahagian kanan gawang gol, manakala percubaan Hoang Duc Nyugen ditangkap kemas oleh Mohd Farizal Marlias.

Vietnam bagaimanapun, berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27, yang gagal dihalang oleh benteng pertahanan negara yang sedikit hilang fokus setelah tidak dapat mengawal bola selepas sepakan sudut pasukan lawan.

Tandukan deras Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-38, setelah menerima hantaran daripada Matthew Davies, berjaya dihalang oleh penjaga gol Vietnam Bui Tan Truong, manakala sepakan percuma Safawi Rasid juga berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol veteran itu.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe, yang kehilangan bapanya Tan Chooi Siak, 95, semalam, membuat keputusan untuk menggantikan Syafiq dan Safawi dengan membawa masuk Nazmi Faiz Mansor dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Penyerang naturalisai negara, Guilherme de Paula akhirnya membalas kepercayaan yang diletakkan ke atasnya, apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti deras pada minit ke-72.

Terdahulu, pengadil Ryuji Sato menghadiahkan sepakan penalti selepas de Paula dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Vietnam.

Namun, keriangan skuad negara tidak kekal lama apabila Que Ngoc Hai meletakkan skuad kendalian Hang-seo sekali lagi di hadapan dengan melengkapkan sepakan penalti pada minit ke-82, setelah Brendan mengasari Nguyen Van Toan.

Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad Harimau Malaysia dalam kempen kelayakan itu, selepas diaibkan 0-4 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

Satu lagi aksi Kumpulan G menyaksikan UAE membelasah Indonesia 5-0.

Keputusan hari ini menyaksikan Vietnam, yang mengekalkan rekod tanpa kalah terus kekal di tangga teratas kumpulan dengan 17 mata selepas tujuh perlawanan, diikuti UAE (15 mata), Thailand (9), Malaysia (9) dan Indonesia (1).

Malaysia seterusnya akan beraksi menentang Thailand pada aksi terakhir kumpulan pada awal pagi Rabu, manakala Vietnam bakal berdepan cabaran UAE dalam penentuan juara kumpulan.