Wednesday, June 16, 2021

Selepas pertemuan dengan Agong, warga Malaysia dihujani berita palsu, jenaka

Daripada kenyataan palsu sehingga barisan Kabinet 'baru', spekulasi dan berita palsu beredar memenuhi media sosial dan ruangan bual digital.

Other News

Puluhan imej dan dokumen palsu beredar di media sosial, menghiburkan rakyat Malaysia sekali lagi dengan “berita-berita” mengenai “kejatuhan kerajaan” sebaik sahaja siri-siri pertemuan pemimpin parti politik bersama Yang di-Pertuan Agong pada minggu ini bermula.

Daripada kenyataan palsu parti-parti kerajaan menarik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ucapan-ucapan tahniah sehinggalah beberapa poster yang menunjukkan barisan “Kabinet baru”.

Kesemua gambar-gambar itu dilihat banyak beredar di kumpulan-kumpulan perbualan WhatsApp.

Ledakan berita palsu ini bukan perkara baru, kerana kebanyakannya adalah bagi tujuan sarkastik dan jenaka.

Dengan spekulasi dan khabar angin yang terus beredar mengenai jadual pertemuan ahli-ahli politik bersama Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Pada masa sama kadar vaksinasi kebangsaan terus meningkat laju bagi mencapai sasaran imuniti kelompok.

Penyokong-penyokong kerajaan dan pembangkang mula melancarkan perang psikologi dengan cara mengubah ucapan-ucapan ahli politik dalam klip-klip video.

Selain itu ada juga beberapa poster lucu yang menunjukkan beberapa ahli politik terkenal sedang menyapu di luar pintu pagar Istana Negara.

Gambar yang dilihat paling menonjol adalah seorang ahli politik yang sama kelihatan tiba untuk bertemu Agong bersama kereta mewahnya.

Ada juga sebahagian gambar yang mengandungi unsur-unsur sarkastik dan serangan psikologi, seperti sebuah gambar yang menunjukkan barisan Kabinet “baru” dengan beberapa ahli politik bersama portfolio masing-masing.

Salah satu menteri yang turut tertera dalam poster itu turut menamakan Tajuddin Abdul Rahman, seorang pemimpin Umno yang dipecat daripada syarikat berkaitan kerajaan, Prasarana di samping beberapa ahli politik yang kononnya bakal mendirikan gabungan baru terdiri dari Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

Namun ada yang boleh dikatakan berita palsu semata-mata seperti sebuah kenyataan bersama antara PAS dan Warisan yang sukar dipercayai untuk bersependapat dalam apa-apa isu.

Dalam kenyataan yang kononnya ditandatangani setiausaha agung kedua-dua parti itu, ia mendakwa parti Islam tersebut dan parti yang berpusat di Sabah menyokong Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk menggantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ledakan jenaka dan berita palsu terbaru mengenai politik negara ini dilihat timbul semula selepas hampir tiga bulan pengakuan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada Mac lalu bahawa beliau berunding dengan Umno mengenai kerjasama yang mungkin berlaku antara kedua-dua parti tersebut.

Anwar turut menjadi sasaran jenaka digital pada September tahun lalu ketika beliau mengumumkan memiliki sokongan “kukuh” dan “meyakinkan” bagi membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya di Sabah.

Pada Mac lalu, MalaysiaNow melaporkan jenaka digital yang mulai menggantikan cara-cara tradisional dalam propaganda politik.

Dengan sekatan pergerakan penuh masih yang masih berkuat kuasa, barangkali banyak idea kreatif yang muncul dalam kepala mereka yang mempunyai waktu untuk mencipta kandungan baru dalam beberapa hari ke depan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles