- Iklan -
Berita

Kesusahan, cabaran semasa pandemik tak halang murid cemerlang peperiksaan SPM

Nurul Syafiza Wan Shariman turut menjaga ayahnya yang sakit buktikan kejayaan dalam SPM tidak mustahil jika tumpuan diberikan terhadap pelajaran.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Nurul Syafiza Wan Shariman menunjukkan keputusan SPM kepada bapanya yang berbaring di atas katil akibat meningitis pada bulan Mei.
Nurul Syafiza Wan Shariman menunjukkan keputusan SPM kepada bapanya yang berbaring di atas katil akibat meningitis pada bulan Mei.

Pandemik Covid-19 yang mengcucar-ngacirkan jadual persekolahan sehingga menyebabkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipinda tidak menghalang seorang murid yang terpaksa membahagikan masa untuk belajar dan menjaga ayahnya yang sakit mendapat keputusan cemerlang.

Nurul Syafiza Wan Shariman, 18, pelajar sains tulen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki tidak menjangka mendapat keputusan cemerlang 9A walaupun keluarganya berdepan kesukaran sejak pandemik melanda.

“Saya cuba menyemak laman sesawang yang disediakan kementerian pendidikan (KPM) namun laman itu mengalami masalah teknikal (crash) selama 20 minit,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya kemudian menyemak menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Memang terkejut tidak terkata apabila melihat keputusan 9A.”

Buat nota dan tumpu perhatian, itulah tips utama Nurul Syafiza Wan Shariman kepada calon SPM yang menduduki peperiksaan itu ketika pandemik.

Penutupan sekolah akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 menyebabkan tarikh peperiksaan SPM murid tingkatan lima tahun 2020 dijadualkan semula pada 22 Februari tahun ini.

Pada November Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata langkah itu diambil selepas kementerian pendidikan mengambil kira situasi semasa dalam negara yang memberikan kesan kepada calon peperiksaan berkenaan.

Syafiza berkata, keputusan cemerlang itu merupakan satu hadiah kepada keluarga terutama bapanya yang terbaring sakit akibat meningitis sejak bulan Mei tahun lepas.

Katanya, sejak tahun lalu keluarganya bergantung kepada wang insurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) milik ayahnya untuk meneruskan kehidupan, selain abangnya yang turut bekerja secara separuh masa sambil melanjutkan pengajian ke menara gading.

Syafiza berkata bukan mudah untuk belajar dalam keadaan sekolah ditutup untuk tempoh masa yang berpanjangan tetapi berterima kasih kepada sokongan yang diberikan rakan-rakan.

“Memang sukar belajar secara online terutama subjek Matematik Tambahan, namun rakan baik saya yang banyak membantu. Kalau ada perkara yang tidak faham, saya tanyakan kepada dia,” katanya.

Kesukaran belajar secara dalam talian

Syafiza yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu memaklumkan, dia dan rakan-rakan hanya sempat ke sekolah sebelum PKP pertama, sebelum sekolah dibuka pada Jun hingga Oktober.

“Selepas Oktober, memang tak pergi sekolah langsung sampai awal tahun ini.

“Jadi kami ‘rushing’ untuk habiskan silibus. Sebagai contoh, 70% subjek Kimia dipelajari secara online sahaja.”

Terharu dan gembira, begitulah perasaan Nurul Syafiza ketika melihat keputusan SPM secara dalam talian.

Syafiza berkata, kelas secara secara dalam taliannya menggunakan Google Meet, Google Classroom dan aplikasi Zoom.

Walaupun sukar secara tidak bersekolah secara normal, Syafiza yang bercita-cita untuk menjadi arkitek itu berkata, dua bulan sebelum tarikh SPM, dia mendisiplinkan diri dan mengekang mata untuk mengulang kaji.

“Rutin harian saya bermula 7.30 pagi. Saya akan mengulangkaji bersama rakan saya sehingga pukul 12. Saya rehat sebentar dan sambung sehingga petang. Pada waktu malam saya akan mengulangkaji sehingga pukul 11 atau 12 malam,” katanya.

Menceritakan pengalaman mengambil SPM ketika pandemik, Syafiza berkata antara cabaran yang dihadapi para pelajar ialah kesukaran berkomunikasi dengan rakan-rakan sebelum menduduki peperiksaan, sebagai mematuhi arahan penjarakan sosial.

“Hendak bincang dengan rakan pun seolah-oleh perlu menjerit kepada satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata bagi para murid yang akan menduduki peperiksaan SPM akan datang, disarankan untuk menyalin nota sendiri ketika sesi pengajaran secara dalam talian bagi menumpukan perhatian agar tidak terleka.

Dia juga menasihatkan agar para pelajar tidak mengalihkan perhatian kepada telefon bimbit atau internet.

“Saya hanya melihat telefon bimbit selama 10 minit sebagai ‘hadiah’ untuk