- Iklan -
Berita

Ziarah Aidilfitri, pergaulan sosial cetus 2 kluster baru di Sarawak

Setakat ini, 76 kluster dilaporkan masih aktif di Sarawak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan sedang memeriksa sampel ujian Covid-19. Sarawak adalah antara negeri yang menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan sedang memeriksa sampel ujian Covid-19. Sarawak adalah antara negeri yang menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengisytiharkan dua lagi kluster baru Covid-19 di negeri itu yang berpunca daripada pergaulan sosial dan aktiviti ziarah semasa Hari Raya Aidilfitri, bulan lepas.

JPBNS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kluster Kampung Hilir Lingga di Sri Aman tercetus akibat ziarah raya melibatkan tiga lokaliti iaitu di Kampung Hilir Lingga, Kampung Masjid Baru Lingga dan Taman Pasir Panas.

“Seramai 32 individu telah disaring dalam kluster itu dengan 23 kes daripadanya dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks,” menurut JPBNS.

Selain itu, kluster Kampung Sinar Budi Baru di Kuching pula melibatkan tiga keluarga di Kampung Sinar Budi Baru yang tercetus menerusi pergaulan sosial dan kontak rapat dalam kalangan keluarga.

“Seramai 38 individu telah disaring dengan 19 kes daripadanya dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 19 kes lain didapati negatif,” kata JPBNS.

Sebanyak 76 kluster masih aktif di Sarawak sehingga kini.

Sarawak merekodkan 419 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 53,000 dengan 330 kematian susulan tiga kematian baru dilaporkan semalam.