- Iklan -
Berita

Tiba masanya jawatankuasa darurat serahkan laporan, bukan melayan langkah ‘bawa bala’, kata Chandra

Chandra berkata perdebatan politik untuk mengalihkan perhatian daripada usaha menangani kesihatan awam dan kesejahteraan ekonomi mesti dihindarkan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Chandra Muzaffar.
Chandra Muzaffar.

Pengkritik sosial terkemuka, Chandra Muzaffar berkata rakyat tidak lagi sanggup melayani perbincangan mengenai pertukaran kerajaan ketika tumpuan negara sepatutnya dihalakan untuk melawan wabak Covid-19 melalui program vaksinasi besar-besaran.

Katanya, usaha tersebut lebih penting kerana beliau berpendapat kerajaan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin melaksanakan langkah-langkah yang cukup baik dalam mengurangkan kesan pandemik Covid-19 melalui beberapa bantuan kewangan dan kesihatan awam.

Chandra berkata seperti mana-mana kerajaan, pentadbiran pada hari ini juga belajar daripada kesilapan dilakukan sepanjang krisis global yang belum pernah terjadi sebelum ini.

“Namun penilaian yang adil dan seimbang terhadap prestasi kerajaan ketika ini boleh disimpulkan bahawa tidak ada asas yang rasional untuk melakukan sebarang usaha menjatuhkannya.

“Dalam situasi seperti yang kita hadapi ketika ini, seseorang tidak perlu menukar nakhoda ketika kapal sedang berlayar. Akibat daripada tindakan sedemikian, ia boleh menyebabkan bala bencana kepada negara, lebih-lebih lagi jika seseorang itu memikirkan kerangka yang lebih besar,” kata Chandra kepada MalaysiaNow mengulas gesaan ahli politik pembangkang untuk membentuk kerajaan baru selepas beberapa pemimpin parti politik diperkenan mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertemu dengan Muhyiddin, disusuli Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa siri pertemuan bersama pihak Istana Negara.

Ia dijalankan bagi mendapatkan maklum balas mengenai usaha memerangi wabak Covid-19 sejak darurat diisytiharkan awal tahun ini.

Langkah istana memanggil pemimpin-pemimpin parti politik itu mencetuskan spekulasi daripada beberapa ahli politik PH bahawa Agong mahu menggantikan pentadbiran Muhyiddin yang didakwa gagal membendung virus tersebut.

Chandra berkata wujud keperluan untuk menghindarkan debat-debat politik yang boleh menyebabkan hilangnya tumpuan kepada kesihatan awam dan kesejahteraan ekonomi negara ketika ini.

Sebaliknya, beliau berkata Jawatankuasa Bebas Darurat yang dibentuk untuk menasihati Agong sepanjang darurat Covid-19 harus mengemukakan laporan komprehensif mengenai bagaimana kerajaan dan orang ramai dapat menangani wabak.

“Laporan itu harus dibentangkan kepada Parlimen dua atau tiga minggu sebelum berakhirnya darurat pada 1 Ogos 2021,” tambahnya.

Pada Februari, Agong meluluskan 19 nama pemimpin termasuk daripada parti pembangkang bagi membentuk Jawatankuasa Bebas Darurat untuk memberi nasihat berhubung keadaan wabak sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria.

Chandra berkata, laporan jawatankuasa itu harus dibincangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara selain perlu diuar-uarkan kepada seluruh rakyat.

“Agong kemudian akan bertindak atas nasihat kerajaan. Pendekatan seperti itu bukan sahaja memberikan keadilan kepada sentimen rakyat bahkan juga dapat mengumpulkan input dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Ini adalah cara yang lebih matang untuk menangani pandemik daripada hanya membiarkannya untuk kepentingan kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Beliau turut memberikan amaran terhadap gesaan yang menyeru kerajaan ditukar ketika ini dengan mengatakan fokus utama sekarang adalah untuk “mengembalikan suasana normal dalam semua ruang”.

“Bagi mencapai tujuan ini kita semua harus bekerjasama sebagai satu keluarga. Harus ada perpaduan dan kesatuan terhadap matlamat yang sama,” kata Chandra.