- Iklan -
Berita

Washington benarkan pemberian balutan ganja kepada penerima vaksin

Pemberian ganja rekreasi percuma kepada penerima vaksin adalah sebagai langkah untuk menggalakkan vaksinasi dalam kalangan warganya.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
April lalu, program pemberian balutan ganja rekreasi diadakan di New York bagi menggalakkan vaksinasi Covid-19 di Amerika Syarikat. Gambar: AP
April lalu, program pemberian balutan ganja rekreasi diadakan di New York bagi menggalakkan vaksinasi Covid-19 di Amerika Syarikat. Gambar: AP

Washington, salah sebuah negeri Amerika Syarikat menawarkan satu balutan ganja untuk penerima suntikan vaksin sebagai usaha terbaru bagi menggalakkan lebih ramai warga AS divaksinasi ekoran kadar inokulasi di negara itu masih dianggap perlahan.

Beberapa kedai yang menjual ganja rekreasi di Washington akan dibenarkan untuk memberi satu balutan ganja kepada mereka yang berusia 21 tahun ke atas selepas menerima vaksin Covid-19.

Ganja atau marijuana dengan tujuan rekreasi telah dibenarkan penggunaannya di AS pada 2012.

Langkah itu adalah susulan keputusan tahun lalu yang membenarkan premis arak berlesen untuk menyediakan minuman alkohol percuma kepada penerima vaksin dewasa di Washington.

Menurut jabatan kesihatan di AS, setakat ini, hanya 54% warga dewasa Washington telah menerima vaksin Covid-19.

Namun kadar vaksinasi itu semakin menurun sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan beberapa langkah diambil bagi meningkatkan dan menggalakkan vaksinasi dalam kalangan penduduknya.

Beberapa negeri termasuk California dan Ohio telah melaksanakan hadiah “loteri” yang menawarkan wang tunai dan biasiswa kolej kepada penerima vaksin yang terpilih.

Antara imbuhan dan hadiah lain termasuk tiket acara sukan, tiket penerbangan dan alkohol.

Premis-premis jualan ganja di Arizona juga telah menjalankan operasi pemberian produknya secara percuma kepada penerima vaksin.

Presiden Joe Biden telah menyasarkan 70% warga AS menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin menjelang 4 Julai depan, tanggal negara itu meraikan ulang tahun kemerdekaannya.

Menurut data terbaru Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), setakat ini hanya 63.7% daripada sasaran itu telah dicapai.