- Iklan -
Berita

Laporan AS simpulkan Covid-19 mungkin berpunca dari makmal Wuhan

Kajian yang menggunakan kaedah analisis genomik terhadap virus Covid-19 itu disediakan pada Mei 2020 oleh sebuah makmal di California.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Institut Virologi Wuhan di China didakwa menjadi pencetus pandemik Covid-19 selepas tiga pengkajinya didakwa terdedah dengan virus tersebut. Gambar: AP
Institut Virologi Wuhan di China didakwa menjadi pencetus pandemik Covid-19 selepas tiga pengkajinya didakwa terdedah dengan virus tersebut. Gambar: AP

Sebuah laporan Wall Street Journal mendedahkan punca asal-usul Covid-19 oleh makmal Amerika Syarikat telah menyimpulkan virus itu mungkin terdedah di makmal China di Wuhan dan mencadangkan siasatan teliti dijalankan.

Kajian yang menggunakan kaedah analisis genomik terhadap virus Covid-19 itu disediakan pada Mei 2020 oleh Lawrence Livermore National Laboratory di California.

Laporan itu berkata kajian tersebut dirujuk Jabatan Negara AS ketika siasatan mengenai asal usul pandemik tersebut sepanjang lima bulan pentadbiran Trump.

Lawrence Livermore bagaimanapun menolak untuk memberikan sebarang ulasan terhadap laporan Wall Street Journal tersebut.

Pada Mei lalu, Presiden Joe Biden mengarahkan pembantu kanannya mencari jawapan mengenai asal usul virus tersebut.

Sebagai respons, Agensi-agensi perisikan AS telah mencadangkan dua senario utama: virus itu terdedah akibat kemalangan yang berlaku di makmal atau ia muncul akibat kontak manusia dengan haiwan yang telah dijangkiti virus.

Laporan yang masih diklasifikasi sebagai sulit oleh agensi perisikan itu telah tersebar sepanjang pentadbiran Donald Trump, ia mendakwa tiga orang pengkaji di Institut Virologi Wuhan sakit tenat pada November 2019 sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital, kata beberapa sumber kerajaan AS.

Pegawai-pegawai AS mendakwa China tidak telus mengenai asal-usul virus tersebut, namun dakwaan tersebut dinafikan Beijing.

Dalam pada itu, Sky News baru-baru ini melaporkan pakar mengenai pandemik dan penyakit berjangkit Dr Anthony Fauci telah mengakui beliau telah menyalurkan dana dalam kajian “hubungan virus kelawar dan manusia” di China bagi mengelakkan jangkitan berlaku di AS.

“AS telah memberikan dana kajian mengenai virus koronavirus yang sangat berbahaya yang sebelum ini dilarang di Institut Virologi Wuhan,” kata laporan itu.

“Kajian itu melibatkan ciptaan virus baru yang boleh membawa maut dan tidak pernah wujud sebelum ini.

“Ia berlaku pada 2012, ketika AS mempertimbangkan untuk melarang usaha ‘gain of function research’ (GoFR), yang kemudiannya tetap dijalankan.

“Fauci berkata ia adalah kerja yang penting dan berbaloi walaupun berisiko mencetuskan pandemik.”

GoFR adalah istilah yang digunakan untuk kajian perubatan yang memisahan organisme atau penyakit dengan menggunakan kaedah meningkatkan pathogenesis, kebolehjangkitan atau jenis-jenis perumah yang boleh dijangkiti mikroorganisme.

Sky mendakwa, “Ketika pandemik meletus dan Rumah Putih masih lagi memikirkan bagaimana semua ini boleh bermula, Fauci langsung tidak pernah mendedahkan usaha GoFR atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan di makmal Wuhan.”

Sky menuduh Fauci sebagai lelaki yang bertanggungjawab kerana membatalkan larangan AS terhadap kajian berisiko tersebut pada 2017, dan ia disifatkan satu perkara yang “tidak dapat dibayangkan” kerana AS mahu “kajian berisiko tinggi mengenai koronavirus” dijalankan di China.