- Iklan -
Berita

Banjir rosakkan hasil tanaman, tiada pesta menuai di rumah panjang Sarawak

Dengan hasil tanaman yang rosak dan kurang bekalan makanan, masyarakat Kenyah bersiap sedia hadapi musim sukar.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita memeriksa apa yang dapat diselamatkan selepas banjir surut di rumah panjang Lio Mato di Ulu Baram, Sarawak.
Seorang wanita memeriksa apa yang dapat diselamatkan selepas banjir surut di rumah panjang Lio Mato di Ulu Baram, Sarawak.

Pada setiap awal tahun, kawasan pedalaman berhampiran sungai Ulu Baram di Sarawak akan meriah dengan suara nyanyian dan hilai tawa ketika orang Kenyah meraikan pesta menuai mereka.

Pesta yang dikenali sebagai Mamat itu biasanya akan berlangsung antara Februari dan April, bergantung waktu padi mula-mula ditanam.

Ia menjadi bahagian penting budaya mereka walaupun beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan perubahan secara beransur-ansur daripada tradisi itu dalam kalangan generasi muda.

Bagi masyarakat Kenyah, hasil tuaian padi yang baik dan konsisten merupakan cerminan keseluruhan moral warga rumah panjang dan cara untuk mereka meningkatkan status sosial dan ekonomi selain pengaruh dalam masyarakat.

Biasanya, masyarakat Kenyah akan bergotong royong menyiapkan juadah bersama bagi meraikan pesta menuai.

Ketika waktu dan hari yang baik, Pesta Mamat adalah acara paling dinanti-nantikan setiap tahun.

Namun musim menuai tahun ini bukanlah waktu yang tepat untuk meraikannya.

Bulan lalu, rumah panjang Long Moh yang merupakan tempat tinggal sekitar 200 orang dari suku Kenyah ditimpa hujan lebat yang melanda kawasan pedalaman dan bahagian atas kawasan Baram.

Pada 18 Mei, paras air sungai Ulu Baram naik begitu tinggi sehingga rumah panjang di kawasan itu, termasuk Long Moh, dinaiki air.

Alex, seorang pesawah padi berkata banyak rumah ditenggelami air, namun mereka yang tinggal di rumah panjang itu tidak dipindahkan walaupun paras air banjir meningkat sehingga satu meter.

“Keesokan paginya, hujan lebat berterusan, sehingga paras air sampai ke Uma Kelebang, sebuah rumah panjang berhampiran rumah kami,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Penduduk kampung hanya dapat melihat tanpa dapat melakukan apa-apa ketika air deras membawa perahu kami dan harta benda lain.”

Lebih malang, sawah padi mereka juga turut musnah.

Tanpa tuaian hasil ditambah pula kekangan akibat langkah-langkah kesihatan bagi membendung penularan Covid-19.

Maka, tidak ada lagi perayaan bagi tahun ini.

Ini adalah musibah kali kedua bagi masyarakat Kenyah kerana banjir serupa juga terjadi pada Januari lalu.

Penduduk rumah panjang membersihkan sampan dan kawasan sekitar selepas air banjir surut.

Sepupu Alex, William yang ketika ini bekerja di Miri masih teringat akan suara orang ramai menumbuk padi dengan alu kayu pada malam pesta Mamat.

Bunyi itu menjadi petanda kepada semua orang yang mendengarnya perayaan sudah hampir tiba.

“Pada malam perayaan, para wanita akan menyanyikan lagu-lagu bersulam irama orang menumbuk padi.

“Seperti banyak hal-hal yang lain di Ulu, menumbuk beras adalah urusan bersama,” katanya kepada MalaysiaNow.

Namun aktiviti seperti itu kini hanya menjadi kenangan akibat kenyataan pahit yang mereka hadapi ketika ini.

Pertama, mereka kini menghadapi kekurangan bekalan makanan.

Di rumah panjang Lio Mato, Johana Engge berkata barang keperluan seperti gula dan garam sudah hampir habis.

Mereka sebenarnya boleh mendapatkan lebih banyak bekalan, namun terpaksa mendapatkan permit melakukan perjalanan semasa sekatan pergerakan penuh menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar.

“Kami perlu menyediakan makanan, terutama untuk orang tua dan mereka yang sakit,” katanya.

“Sekarang kami harus bergantung kepada saudara-mara dan ahli keluarga yang bekerja di bandar untuk menghantar makanan kepada kami.”

Namun, perkara tersebut bukannya mudah, sesiapa yang ingin pergi ke rumah panjang itu mesti menggunakan kereta pacuan empat roda.

Lio Mato juga jauh dari kota Miri, perjalanan untuk ke sana akan mengambil masa enam hingga lapan jam menggunakan laluan kayu balak.

Untuk sampai ke Miri dari Long Moh pula memakan masa sembilan hingga 12 jam pemanduan.

Di rumah panjang Lio Mato, Johana bimbang dengan keadaan sukar yang dihadapi masyarakat Kenyah di sana.

“Saya harap pihak berkuasa dapat memberi lebih tumpuan kepada orang-orang seperti kami, yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil,” katanya.

Menanam semula tanaman menjadi satu-satunya pilihan yang ada, namun hal itu pun sukar dilakukan kerana banjir masih berterusan di kawasan itu.

William dan Alex berkata air banjir semakin mudah naik kerana paras air sungai ketika ini.

“Banjir boleh berlaku sehingga dua kali setahun,” kata mereka.

“Sebelum ini, mudah untuk kami cari makanan. Sekarang, hutan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat balak.”