- Iklan -
Berita

Program vaksinasi Selangor untuk syarikat korporat masih belum dilaksanakan

Beberapa majikan yang mendaftar untuk program tersebut ketika diumumkan bulan lalu menyatakan hanya menerima maklum balas emel mengesahkan resit maklumat mereka.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Program vaksinasi Covid-19 oleh Syarikat milik Selangor, Selgate, menyasarkan 2.5 juta dos suntikan vaksin. Gambar: Bernama
Program vaksinasi Covid-19 oleh Syarikat milik Selangor, Selgate, menyasarkan 2.5 juta dos suntikan vaksin. Gambar: Bernama

Syarikat-syarikat swasta di Selangor masih belum menerima tarikh janji temu meskipun sudah mendaftar program vaksinasi Covid-19 Selgate di bawah kerajaan negeri, sebulan selepas inisiatif bayar-sendiri itu dilancarkan.

MalaysiaNow difahamkan program tersebut masih belum dilaksanakan sementara waktu bagi menunggu persetujuan daripada kerajaan negeri.

Program itu menyasarkan 2.5 juta dos vaksin di menerusi inisiatif syarikat milik kerajaan negeri, Selgate Corporation Sdn Bhd.

Beberapa majikan yang mendaftar dengan program itu beberapa hari selepas diumumkan pada Mei berkata, mereka hanya menerima maklum balas emel mengesahkan resit maklumat mereka.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap berkata program tersebut masih belum berjalan.

“Sudah dua minggu saya menunggu sebut harga yang dijanjikan,” menurut seorang pegawai sumber manusia di sebuah firma swasta di Shah Alam.

Dia berkata, syarikatnya berkemungkinan membatalkan rancangan vaksinasi kakitangan mereka di bawah inisiatif Selgate, memandangkan ramai menerima janji temu vaksinasi menerusi MySejahtera dalam masa beberapa hari.

Bulan lepas, kerajaan Selangor berkata ia mendapatkan 2.5 juta dos vaksin Covid-19 menerusi Selgate Corporation.

Syarikat-syarikat yang berminat memohon diberitahu untuk mendaftar di laman web SELangkah Vax, berserta maklumat kakitangan masing-masing.

Mereka juga diberitahu untuk membayar separuh daripada jumlah deposit bagi mengesahkan tempahan, dengan bakinya dibayar dua minggu sebelum tarikh vaksinasi.

MalaysiaNow sudah menghubungi pengerusi jawatankuasa tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita, Dr Siti Mariah Mahmud namun masih belum menerima sebarang jawapan.