Monday, September 20, 2021

Dr Mahathir, Hadi dipanggil mengadap Agong

Surat rasmi sudah diterima Dr Mahathir, namun jadual pertemuan belum ditetapkan.

Other News

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dipanggil untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong ke Istana Negara.

“Surat rasmi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong telah diterima pada minggu lepas lagi.

“Bagaimanapun waktu  belum ditentukan lagi setakat ini,” kata Ketua Penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husamudin kepada Bernama.

Sementara Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan mengenai perkara itu kepada The Star.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan memanggil Presiden PAS Abdul Hadi untuk mengadap pada minggu ini, dia sudah menerima jemputan daripada Istana Negara.

“Surat dihantar kepada Abdul Hadi pada 4 Jun di pejabatnya di ibu pejabat PAS di Terengganu. Saya tidak diberi mandat untuk memberitahu bila pertemuan itu akan diadakan.

“Saya juga tidak mengetahui apa yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut,” kata Takiyuddin kepada The Star.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon memberitahu Bernama tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu setakat ini.

Sementara Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden MIC S A Vigneswaran pula memaklumkan parti mereka belum menerima sebarang jemputan rasmi daripada Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengakui mendengar desas-desus berkenaan namun tidak dapat memastikan sama ada partinya menerima surat jemputan tersebut.

“Dengar khabar begitulah (dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong). Saya tidak ke pejabat…tak pasti sama ada dah dapat surat atau belum,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang meminta Bernama merujuk perkara berkenaan kepada Ahli Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat Khairuddin Abu Hassan.

“Rujuk Khairuddin… dia mungkin tahu lebih berbanding maklumat yang kami ada,” katanya.

Semalam, media melaporkan Khairuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Pro-tem Pejuang Wilayah Persekutuan, sebagai berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap semua pimpinan parti politik termasuk pembangkang.

Pada 9 Februari, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 19 anggota Jawatankuasa Bebas Darurat yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria.

Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas ketua setiausaha negara Samsudin Osman, bekas ketua polis negara Norian Mai, bekas panglima angkatan tentera Zulkifli Zainal Abidin, bekas ketua pengarah kesihatan Dr Mohamad Taha Arif dan bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Sukarti Wakiman.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri menjadi sekretariat kepada jawatankuasa itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles