Monday, June 21, 2021

Kes aktif di Labuan meningkat 63 kali ganda sejak Mei

Perkembangan terbaru di Labuan dijangka bakal menyebabkan kira-kira 200 kes baru harian mungkin direkodkan di wilayah itu.

Other News

Jumlah kes aktif Covid-19 di pulau bebas cukai ini meningkat 63 kali ganda sejak awal bulan lepas dengan empat kluster dijangka terus menyumbang kes baru harian dua angka masing-masing hingga minggu depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Labuan Rithuan Ismail, perkembangan itu dijangka menyaksikan Labuan terus mencatatkan kira-kira 200 kes baru Covid-19 setiap hari.

“Pada awal bulan lepas, Labuan merekodkan tidak sampai 30 kes aktif, tetapi sekarang ada 1,885 kes aktif, sementara empat kluster tersebut, iaitu Victoria Merdeka, Simpang Sahari, Simpang Sungai dan Patau-Patau mencatatkan kes baru lebih 10 kes setiap hari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat semalam, kluster Victoria Merdeka merekodkan kes kumulatif sebanyak 361 kes, Simpang Sahari (320), Patau-Patau (249) dan Simpang Sungai (156), sementara kluster Layangan kekal dengan 58 kes tanpa sebarang kes baru dilaporkan sejak beberapa minggu lepas.

Labuan merekodkan kematian terkumpul sebanyak 39 kes setakat semalam.

Selain itu katanya jumlah mereka yang diuji positif kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 meningkat lebih 10 peratus.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata Dewan Serba guna Perbadanan Labuan yang kini berfungsi sebagai pusat kuarantin berisiko rendah akan dijadikan wad untuk pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.

Individu yang kini ditempatkan di situ akan dipindahkan ke Institut Latihan Perindustrian Labuan yang kembali beroperasi sebagai pusat rawatan berisiko rendah semalam, katanya.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Labuan merekodkan 209 kes baru menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 kini sebanyak 4,961.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles