Tuesday, June 22, 2021

Kerajaan persekutuan jamin bekalan, Pulau Pinang batal hasrat beli vaksin

Bekalan vaksin tidak lagi menjadi isu di Pulau Pinang dan menyasarkan peningkatan kadar vaksinasi harian antara 25,000 hingga 30,000, menjelang Julai.

Other News

Kerajaan Pulau Pinang telah membatalkan hasrat untuk memperoleh bekalan vaksin Covid-19 sendiri memandangkan bekalan vaksin tidak lagi menjadi isu dan menyasarkan untuk meningkatkan kadar vaksinasi harian antara 25,000 hingga 30,000, menjelang Julai depan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan Persekutuan telah menjelaskan bahawa bekalan Vaksin Covid-19 tidak lagi menjadi masalah dan memperuntukkan tambahan 500,000 dos vaksin kepada Pulau Pinang.

“Oleh itu, usaha seterusnya kerajaan negeri adalah untuk memastikan kita memiliki tenaga kerja mencukupi dan menambahkan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) agar dapat mencapai sasaran tersebut. Kita perlu mengatasi dua isu itu, serta menguruskan sumber dengan baik.

“Senario terbaik adalah untuk menyelesaikan (vaksinasi) menjelang Ogos atau September tahun ini, atau setidak-tidaknya menjelang Oktober,” katanya dalam sidang media selepas melawat dan menerima suntikan vaksin AstraZeneca di PPV, Spice Arena hari ini.

Menurutnya, terdapat enam pusat pemberian vaksin hospital swasta (​PPVHS) di negeri itu yang menyasarkan memberi antara 50 hingga 200 dos suntikan vaksin setiap hari selain 13 pusat pemberian vaksin general practitioner (PPVGP) yang bertujuan untuk memberi suntikan vaksin sehingga 90 dos, setiap minggu.

Mengulas mengenai operasi PPV Spice Arena yang bermula hari ini hingga 27 Julai, Chow berkata sejumlah 112,350 penduduk Pulau Mutiara itu telah mendaftar secara sukarela untuk vaksin Covid-19 AstraZeneca dengan 31,928 terdiri daripada mereka yang melebih umur 60 tahun sementara selebihnya 80,422 berumur antara 18 hingga 59 tahun.

PPV Spice Arena, yang akan beroperasi mulai 8 pagi hingga 9 malam setiap Isnin hingga Jumaat dan 8 pagi hingga 5 petang, Sabtu dan Ahad.

PPV ini akan memberi sebanyak 1,000 dos suntikan vaksin sehari untuk tiga hari pertama, dan akan meningkatkan kapasiti kepada 3,000 sehari semasa hari bekerja dan 2,000 dos sehari pada hujung minggu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles