Monday, September 20, 2021

Imigresen serbu perkampungan warga asing di Cyberjaya, 156 ditahan

Seramai 202 warga asing diperiksa termasuk 12 wanita berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun dan dua kanak-kanak berusia bawah empat tahun.

Other News

Seramai 156 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah ‘perkampungan’ rumah kongsi dilengkapi elektrik dan air yang dicuri di kawasan tanah terbiar di Cyberjaya, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan selama tiga jam bermula kira-kira 11 malam itu, seramai 202 warga asing diperiksa termasuk 12 wanita berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun dan dua kanak-kanak berusia bawah empat tahun yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Bangladesh, Pakistan dan India.

Beliau berkata mereka yang ditahan kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dibawa ke pusat saringan Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Katanya serbuan ke atas penempatan haram yang turut mempunyai kedai kopi dan gunting rambut itu dijalankan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja, hasil risikan selama tiga bulan.

“Penempatan ini berpotensi menjadi punca penularan Covid-19 kerana tiada pematuhan prosedur operasi standard perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti berkumpulan,” katanya dalam sidang media selepas selepas operasi berkenaan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dzaimee menafikan dakwaan bahawa pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap pendatang tanpa izin namun tidak menahan atau mendakwa majikan di mahkamah.

“Dakwaan ini tidak benar kerana pada 2019, sebanyak 1,052 majikan yang telah kita hadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dengan jumlah denda RM19.3 juta,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas, 519 majikan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan dengan jumlah denda bernilai lebih RM10 juta.

Sementara pada tahun ini, setakat bulan lepas, Dzaimee berkata 130 majikan didakwa dengan denda dikenakan berjumlah RM3.2 juta.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles