- Iklan -
Berita

Hanya pekerja dengan surat pengesahan kementerian, agensi dibenar lepasi sekatan mulai Selasa

Surat itu adalah sebagai bukti untuk membenarkan pergerakan pekerja dari kediaman ke tempat kerja.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis membuat pemeriksaan rentas daerah di sekatan jalanraya berikutan pelaksanaan PKP di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Anggota polis membuat pemeriksaan rentas daerah di sekatan jalanraya berikutan pelaksanaan PKP di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Polis hanya menerima pakai surat pengesahan daripada enam kementerian dan beberapa agensi tertentu bagi membenarkan pekerja bergerak ke tempat kerja semasa sekatan jalan raya (SJR) yang akan bermula Selasa ini.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata surat itu adalah sebagai bukti untuk membenarkan pergerakan pekerja dari kediaman ke tempat kerja.

“Orang ramai diingatkan agar mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang disenaraikan ketika melalui SJR dan mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kementerian terbabit ialah kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan serta kementerian pengangkutan malaysia (MOT) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan.

Katanya bagi sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi pula, kementerian pertanian dan industri makanan (Mafi) hanya akan mengeluarkan surat pengesahan kepada pekebun kecil manakala bagi yang memiliki lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), surat pengesahan akan dikeluarkan oleh Miti.

“Bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan yang dikeluarkan oleh kementerian perusahaan perladangan dan komoditi (MPIC) atau LGM manakala bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh Miti.

“Semua surat pengesahan yang dikeluarkan oleh agensi yang berada di bawah kementerian dalam negeri seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya akan diterima pakai bagi kebenaran pergerakan,” katanya.

Acryl berkata selain itu, surat pengesahan kebenaran pergerakan dikeluarkan oleh kementerian komunikasi dan multimedia (KKMM) bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier serta penyiaran.

Beliau berkata bagi sektor institusi kewangan, insurans dan urus niaga saham, surat pengesahan masing-masing akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Katanya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan surat pengesahan untuk sektor peniaga kecil, penjaja gerai makanan dan trak makanan manakala pengeluaran lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal dan sanitasi, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh Miti.

“Dokumen pengesahan ini hendaklah bertarikh 1 Jun 2021 dan pihak yang tiada sebarang dokumen sah atau tamat tempoh iaitu sebelum tarikh itu akan diarahkan berpatah balik.

“Polis juga akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah peraturan rentas sempadan iaitu ziarah kematian, kecemasan dan bekerja sendiri,” katanya.

Acryl berkata bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara dan penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara sekali beri dalam tempoh 1 hingga 14 Jun ini.

Beliau berkata Polis akan memberikan kebenaran secara sekali beri iaitu bagi tempoh dua hingga tiga hari kepada pekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois pembayaran gaji dan sebagainya namun mereka perlu menyediakan surat pengesahan majikan sebagai bukti.

Katanya bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri melalui Miti manakala pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes baharu (reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah) hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR.