- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen DAP dipanggil bantu siasatan kerana dakwa polis lakukan pemerasan

Dakwaan itu dibuat Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada 4.50 petang semalam menerusi sidang media

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis akan menyiasat Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (kanan) dari DAP kerana mendakwa anggota polis melakukan pemerasan. Gambar: Facebook
Polis akan menyiasat Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (kanan) dari DAP kerana mendakwa anggota polis melakukan pemerasan. Gambar: Facebook

Polis akan memanggil Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng bagi membantu siasatan susulan dakwaannya mengenai tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua individu berhampiran lampu isyarat di Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata dakwaan itu dibuat ahli Parlimen berkenaan pada 4.50 petang semalam menerusi sidang media dan siasatan dibuat selepas berita mengenainya dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut Beh, sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 6.45 pagi itu.

“Ahli Parlimen itu serta dua individu terbabit dalam kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.

”Polis memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota tersebut jika kejadian salah laku didapati benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482206.