- Iklan -
Berita

Sesi sekolah bermula 13, 14 Jun secara dalam talian

Keputusan diambil mengambil kira situasi semasa Covid-19.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pelajar menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sesi persekolahan akan bermula 13 Jun dan 14 Jun ini selama 25 hari secara pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum cuti pertengahan penggal bermula 25 dan 26 Julai disebabkan situasi semasa jangkitan Covid-19 yang terus meningkat, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata, negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan sesi persekolahan pada 13 Jun hingga 17 Julai manakala bagi negeri-negeri lain dalam kumpulan B, sesi persekolahan akan bermula pada 14 Jun sehingga 17 Julai.

Beliau berkata, ketetapan itu turut digunapakai untuk sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat yang berdaftar dengan kementerian pendidikan.

“Ada yang bertanya apakah yang akan berlaku selanjutnya selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal?

“Kementerian pendidikan (KPM) akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurang seminggu sebelum sesi persekolahan dibuka berdasarkan situasi semasa itu,” katanya pada satu sidang media secara dalam talian hari ini.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin dalam sidang media hari ini.

Mengenai TV pendidikan, beliau berkata sehingga kini KPM akan terus menggunakan saluran Didik Tv, Ok Tv dan Astro Tutor Tv tanpa tambahan saluran lain.

“Kita akan teruskan dengan 15 jam waktu siaran setiap hari. Kita lihat dalam tempoh ini sokongan terhadap PdPR semakin hari semakin baik,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan ibu bapa untuk membuka sekolah hanya kepada murid-murid bekeperluan khas, Radzi berkata perkara itu hanya ditentukan Majlis Keselamatan Negara.

Dalam pada itu, Radzi berkata, kementerian sentiasa berikhtiar supaya semua guru dapat melaksanakan PdPR dengan baik.

“Dari semasa ke semasa kita terus memantau pelaksanaan PdPR bukan sahaja di peringkat sekolah, daerah dan negeri, tapi kita memantau bagi memastikan kita dapat selesaikan sebarang isu supaya anak-anak ini mempunyai akses dalam tempoh PdPR dilaksanakan.”

Radzi turut menggesa guru-guru untuk hadir janji temu vaksinasi bagi meningkatkan jumlah guru yang menerima vaksinasi.

Beliau memaklumkan lebih 70,000 guru sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Dalam tempoh ini, sekolah tidak akan dibuka sehingga akhir bulan Julai, dan saya berbincang dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin supaya kita dapat tingkatkan imunisasi guru-guru di bawah KPM.”

Ketika mengulas mengenai takwim 2022, Radzi menjelaskan KPM melakukan penyusunan takwim, namun ia bergantung kepada situasi semasa.