- Iklan -
Berita

Dunia pasca pandemik bakal saksikan peningkatan pelepasan karbon, kata pakar

Dengan mengamalkan gaya hidup mesra alam semasa perintah berkurung, pelepasan karbon dapat dikurangkan dan mencegah masalah alam sekitar.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Premis-premis perniagaan ditutup  sementara jalan lengan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP). Pelepasan karbon kurang ketika PKP namun dijangka meningkat selepas 'lockdown' dan pasca pandemik Covid-19.
Premis-premis perniagaan ditutup sementara jalan lengan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP). Pelepasan karbon kurang ketika PKP namun dijangka meningkat selepas 'lockdown' dan pasca pandemik Covid-19.

Pakar-pakar alam sekitar berkata pelepasan karbon global akan meningkat dengan ketara di dunia pasca pandemik sekali gus mendorong orang ramai mula mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam selama tempoh perintah berkurung.

Renard Siew adalah penasihat perubahan iklim di Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (GPS), sebuah firma penyelidikan sains politik dan tingkah laku sosial di Kuala Lumpur.

Beliau berkata indeks kualiti udara meningkat sepanjang tempoh berkurung di rumah kerana aktiviti pengangkutan berkurangan secara drastik, namun katanya peningkatan kualiti udara mungkin kelihatan baik di peringkat tempatan namun di peringkat global, ia tidak berubah secara ketara di seluruh dunia dengan hanya 6% penurunan pelepasan karbon direkodkan.

“Ini adalah testimoni mengenai skala cabaran iklim yang dihadapi dunia dan bagaimana ekonomi sekarang harus melakukan ‘reset’ secara besar-besaran daripada hanya berusaha untuk usaha pemulihan semata-mata,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau menjangka tahap pelepasan karbon pasca pandemik mungkin akan kembali merosot lebih teruk daripada sebelum pandemik Covid-19 melanda, kerana aktiviti industri dan ekonomi akan mula meningkat dan orang ramai akan ghairah untuk kembali melakukan perjalanan.

“Kami menjangka pelepasan karbon akan sekali atau tiga kali ganda daripada kadar sebelum ini kerana orang mula bekerja lebih masa untuk mengganti semula produktiviti yang tak dapat mereka lakukan semasa sekatan pergerakan penuh,” katanya.

Andrew Sebastian yang memimpin Ecotourism and Conservation Society Malaysia (ECOMY) turut bersetuju perlu ada perubahan gaya hidup dalam kalangan masyarakat untuk mengurangkan pelepasan karbon di dunia pasca pandemik.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Sebastian berkata dunia pasca wabak akan menyaksikan peningkatan pelepasan karbon yang tinggi.

Beliau berkata walaupun orang ramai hanya berada di tempat tinggal mereka sepanjang sekatan pergerakan penuh, mereka tetap menjalankan gaya hidup intensif karbon kerana kerap melakukan aktiviti membeli-belah dalam talian, lebih banyak daripada sebelum ini.

Beliau menasihatkan orang ramai menerapkan gaya hidup yang lebih mesra alam seperti mengurangkan belanja dalam talian kerana proses penghantaran barangan turut meningkatkan pelepasan karbon.

Namun, katanya, membeli-belah dalam talian boleh menjadi lebih mesra alam jika syarikat e-dagang memilih kenderaan elektrik atau mesra karbon dalam aktiviti penghantaran barangannya.

“Sekiranya ia dilakukan dengan betul dan menggunakan kenderaan mesra karbon, ia tidak akan sama dengan kenderaan biasa yang keluarkan karbon secara intensif. Jadi, menggunakan kenderaan elektrik adalah pilihan terbaik,” katanya.

Selain itu, menjadi “vegetarian” untuk beberapa hari dalam seminggu juga akan turut membantu kerana menternak haiwan memerlukan pembukaan ladang yang luas selain perlu memberi makan.

“Banyak sumber alam digunakan untuk keperluan menternak lembu dan ternakan lain dari segi rantai makanan. Ya, betul, menjadi vegetarian untuk beberapa hari dalam seminggu boleh membantu.

“Kita perlu ubah gaya hidup kita, sasarkan untuk hidup dengan cara yang lebih minimalis,” katanya.

“Dari sudut itu, ia akan boleh menyebabkan pelepasan karbon berkurangan.”

Beliau turut berkata negara maju mengeluarkan lebih banyak karbon global daripada negara-negara membangun kerana ekonomi yang lebih besar menyebabkan produktiviti industri semakin maju dan tidak mengamalkan perindustrian lestari.

“Harus ada perubahan dalam pelaburan kepada industri yang lebih memerhatikan kemampanan dan lestari selain berusaha menambah baik pelepasan gas rumah hijau.

“Semakin anda kaya, semakin banyak anda akan beli barang-barang mewah. Dan sayangnya, gaya hidup mewah ini turut memiliki jejak karbonnya.”

Siew berkata jejak karbon yang dihasilkan negara-negara kaya akan meninggalkan kesan jangka panjang kepada masyarakat berpendapatan rendah yang terpinggir.

Di samping itu, suhu global yang dijangka meningkat 1.5 darjah celsius akan menyaksikan beberapa kejadian bencana alam terus meningkat seperti banjir dan kemarau.

Ketika itu, katanya golongan berpendapatan rendah akan menjadi kumpulan yang paling terkesan dengan perubahan iklim.

“Realitinya kita tidak mempunyai masa dan malangnya golongan paling terpinggir yang akan sering tanggung derita akibat perubahan iklim.

“Semua pihak berkepentingan tanpa mengira kumpulan pendapatan dan dari mana pun anda, seharusnya dan mesti terlibat dalam agenda hijau,” katanya.