Sunday, September 19, 2021

Video kepentingan vaksin tarik ramai penduduk Ketereh ambil suntikan

Video itu antara langkah yang dilakukan dalam membantu masyarakat di sekitar kawasan tersebut mendaftar dan menjadi penerima vaksin Covid-19.

Other News

Video yang memaparkan kepentingan suntikan vaksin Covid-19 bagi mengekang wabak itu daripada terus merebak yang disebar luas menerusi media sosial berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengambil suntikan itu.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa berkata inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh yang menghasilkan video itu antara langkah yang dilakukan dalam membantu masyarakat di sekitar kawasan tersebut mendaftar dan menjadi penerima vaksin Covid-19.

“Selain itu, saya mengarahkan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh yang berperanan sebagai sukarelawan bertugas secara bergilir-gilir memberi khidmat kepada orang ramai yang hadir mendapatkan suntikan vaksin, malah mereka yang telah mendapat suntikan juga diberi sedikit cenderahati khas daripada saya.

“Setakat ini berdasarkan rekod, terdapat peningkatan sekali ganda bilangan penerima suntikan yang sebelum ini hanya lebih 200 sehari tetapi kini hampir 400 orang sehari yang hadir mendapatkan suntikan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan turut menggesa rakyat mengemas kini aplikasi MySejahtera kerana ia penting bagi mendapatkan tarikh suntikan.

Beliau berkata menerusi gerak kerja dan turun padang 300 jentera secara bergilir-gilir oleh petugas sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majlis Daerah Ketereh – Perbandaran Islam (MDK-PI) dan di kawasan kampung, pihaknya mengesan ramai yang mendaftar MySejahtera, tetapi tidak mengemas kini data semasa.

“Berikutan itu, ada dalam kalangan penduduk yang terlepas tarikh suntikan. Oleh itu petugas serta sukarelawan di PPV MDK-PI membantu mereka mengemas kini maklumat dalam MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerusi kerjasama sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri Umno turut membantu penduduk mengambil suntikan vaksin COVID-19 melalui promosi pendaftaran manual secara bersemuka.

Sementara itu, Setiausaha Umno Bahagian Ketereh Ahmad Termizi Musa berkata pihaknya turut pergi ke kampung-kampung untuk memberi penerangan terutama kepada golongan warga emas mengenai kepentingan vaksin.

“Kami mengalu-alukan langkah bijak Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi kemudahan dan kebenaran kepada hospital serta klinik swasta memberi suntikan vaksin kepada orang ramai dan ini akan menambah bilangan yang akan menerima suntikan,” katanya dan menambah ia juga akan dapat mencapai sasaran 80 peratus penduduk dalam Parlimen Ketereh menerima vaksin.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles