- Iklan -
Berita

PBB ingatkan Malaysia ‘akibat serius’ rancangan anti pendatang asing tanpa dokumen

PBB telah mengadakan beberapa perbincangan dengan kerajaan berhubung kepentingan menjamin kesan seperti pengecualian sementara atau moratorium daripada tindakan penahanan dan pengusiran terhadap warga asing.

Nur Shazreena Ali dan Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Warga asing dan golongan kurang berkemampuan mendapatkan khidmat ujian saringan Covid19 Cheras, Kuala Lumpur.
Warga asing dan golongan kurang berkemampuan mendapatkan khidmat ujian saringan Covid19 Cheras, Kuala Lumpur.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung langkah kementerian dalam negeri yang mahu mengadakan operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa dokumen sepanjang sekatan pergerakan penuh, mengatakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing sepanjang krisis pandemik boleh menjejaskan sekali gus merugikan objektif langkah kesihatan awam yang dilaksanakan walaupun menteri mendakwa tindakan itu bagi membantu program vaksinasi kebangsaan.

Dalam kenyataannya kepada MalaysiaNow, PBB berkata pihaknya mengadakan beberapa perbincangan dengan kerajaan berhubung kepentingan jaminan kerajaan bagi mengelakkan kesan yang bakal ditanggung akibat tindakan tersebut seperti pengecualian sementara atau moratorium daripada tindakan penahanan dan pengusiran.

“Sepanjang pandemik ini, PBB di Malaysia secara tegas menggalakkan penglibatan pendatang asing, pelarian dan individu tanpa dokumen dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan respons Covid-19,” katanya.

“Bagi memenangi peperangan melawan Covid-19, salah satu cara ialah mengadakan vaksinasi besar-besaran selain langkah-langkah kesihatan awam yang berterusan seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membersihkan tangan.

“Jika majoriti populasi dalam negara divaksin, ia akan membantu mengurangkan jangkitan penyakit itu dalam mengehadkan kes-kes Covid-19 yang tenat dan kes kematian.”

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin semalam mempertahankan rancangan menahan pendatang asing tanpa dokumen, mengatakan ia bagi memastikan mereka memiliki dokumen sah untuk tujuan vaksinasi.

Beliau berkata kerajaan tidak boleh memberikan vaksin kepada orang yang tidak mempunyai dokumen, dan vaksinasi adalah untuk mencapai imuniti kelompok.

“Sebelum ini, ada pihak mempertikaikan tujuan tersebut, bahawa mereka yang tidak mempunyai dokumen tidak patut ditahan, namun perlu dinyatakan di sini jika mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen, bagaimana nak melibatkan mereka dalam program vaksinasi?

“Kerajaan tidak boleh memberi vaksin kepada golongan ini, kerana setiap pendaftaran program vaksinasi memerlukan bukti dokumen dan identiti yang sah,” katanya.

Hamzah turut berkata kementeriannya akan meminta majikan pekerja tanpa dokumen untuk mendapatkan dokumen sah daripada kedutaan-kedutaan mereka sebelum divaksin.

Pada 17 Februari, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata beberapa perbincangan dengan pihak berkuasa akan diadakan bagi memastikan pekerja asing tanpa dokumen tidak ditahan ketika tampil untuk vaksinasi.

“Bagi pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen, kita akan melaksanakan satu pelan bagaimana untuk mendekati mereka.

“Kita akan mendekati mereka menerusi kedutaan, pertubuhan antarabangsa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kita mendekati pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen. Kita akan memastikan mereka menerima vaksin tanpa perlu menahan mereka,” katanya.

Pada 22 Mac, beliau menegaskan sekali lagi pekerja asing tanpa dokumen tidak akan ditahan jika mereka tampil untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Pendirian kerajaan adalah kita akan sediakan vaksinasi percuma kepada semua orang di Malaysia termasuk pendatang asing tanpa dokumen dan pelarian dengan jaminan mereka tak akan ditahan atau dilaporkan,” katanya.

Memetik jaminan yang diberikan Khairy, PBB berkata pendirian tersebut adalah satu strategi yang inklusif bagi memastikan keseluruhan populasi negara selamat.

“Kumpulan-kumpulan ini adalah golongan yang tidak mampu dan sepatutnya mendapat akses yang baik kepada maklumat supaya mereka sedar rancangan vaksinasi dan di mana mereka boleh dapatkan khidmat tersebut,” katanya.

“Lojik kesihatan awam ketika pandemik adalah tidak ada yang akan selamat melainkan setelah semua orang selamat.”

Dalam pada itu, aktivis hak asasi Adrien Pereira berkata rancangan yang jelas sangat diperlukan ketika menangani isu pendatang tanpa dokumen sepanjang krisis Covid-19.

Mengingatkan Malaysia sudah pun berdepan dengan pandemik lebih dari setahun, beliau berkata menteri dalam negeri mesti bentangkan dasar-dasar yang sejajar dengan agenda kebangsaan dan negara.

“Menteri dalam negeri mesti rangka dasar-dasarnya namun ia mestilah selari dengan agenda nasional,” katanya kepada MalaysiaNow.