- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang laksanakan sidang Parlimen secara hibrid

Mesyuarat bersama yang di-pertua Parlimen dan timbalannya hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan pelan konsep Parlimen Hibrid.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Konsep Parlimen Hibrid sedang dikaji kerajaan untuk dilaksanakan ketika pandemik. Gambar: AFP
Konsep Parlimen Hibrid sedang dikaji kerajaan untuk dilaksanakan ketika pandemik. Gambar: AFP

Putrajaya secara dasarnya bersetuju pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid dan sedang mengkaji mekanisme ke arah pelaksanaannya melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kataMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata langkah tersebut diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Suatu mesyuarat diadakan secara maya antara saya selaku menteri bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen dengan kedua-dua Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang DiPertua bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin mesyuarat yang diadakan hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid tersebut diadakan yang berasaskan penyertaan kehadiran ahli-ahli Parlimen secara fizikal dan juga secara maya.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri.”

Kemungkinan untuk mengadakan sidang maya Parlimen telah disyorkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said.

Dalam sebuah kenyataan pada 27 Mei lalu, ahli Parlimen Pengerang itu juga mengutarakan beberapa syor untuk menjalankan persidangan dewan rakyat secara maya dengan mengatakan pandemik masih akan berterusan dalam tempoh yang lama.

Ahli politik pembangkang dari Pakatan Harapan juga telah memulakan proses undang-undang terhadap kerajaan, meminta mahkamah mengisytiharkan proklamasi darurat oleh Agong pada Januari tahun ini sebagai tidak berperlembagaan.

Pada April, beberapa ahli Parlimen pembangkang bekerjasama dengan enam badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan deklarasi mahkamah mengenai peranan Parlimen dan badan kehakiman, termasuk untuk menyatakan sama ada pembatalan persidangan Parlimen boleh dicabar di mahkamah.