Sunday, June 20, 2021

Dua kluster baru di Pahang berkaitan ziarah Aidilfitri

Satu lagi kluster baru ialah kluster Industri Gebeng melibatkan penularan di tempat kerja yang bermula pada 28 Mei lepas.

Other News

Dua dari tiga kluster baru Covid-19 di Pahang adalah berkaitan dengan aktiviti ziarah pada hari raya Aidilfitri, kata Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Che Awang Ngah.

Beliau berkata satu daripada kluster itu ialah kluster Kampung Mat Daling di Jerantut yang dilaporkan pada 25 Mei lepas membabitkan kes indeks seorang wanita warga tempatan berusia 37 tahun yang pulang ke kampung itu selama lapan hari mulai 11 Mei lalu.

“Seramai 47 kontak rapat telah disaring melibatkan ahli keluarga dan penduduk kampung dan 10 disahkan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya satu lagi kluster berkaitan hari raya ialah kluster Batu Hitam yang merujuk kepada lokaliti penularan di tempat kerja dengan kes indeks seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun yang bekerja di sebuah kilang di Gebeng.

“Kes mula bergejala demam pada 14 Mei dan disahkan positif pada 21 Mei lalu. Siasatan lanjut mendapati kes indeks ada menziarahi keluarga yang duduk berdekatan bersama satu keluarga yang lain pada hari raya pertama. Seramai 80 individu telah disaring dalam kluster ini dengan 39 daripadanya dikesan positif,” katanya.

Dr Bahari berkata satu lagi kluster baru ialah kluster Industri Gebeng melibatkan penularan di tempat kerja yang bermula pada 28 Mei lepas, dan daripada 70 orang yang disaring, 25 individu disahkan positif.

Beliau berkata pertambahan 135 kes baru hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Pahang sebanyak 10,139 kes, dengan jumlah kes aktif 1,784 kes.

Tujuh daerah mencatatkan pertambahan kes dengan kes tertinggi di Jerantut dengan 72 kes diikuti Kuantan (40 kes), Lipis (10 kes), Bentong (sembilan kes), Cameron Highlands (dua kes) dan masing-masing satu kes di Maran dan Bera.

Selain itu, terdapat 25 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, dengan 16 daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles