Friday, October 15, 2021

Apa yang berada dalam fikiran golongan anti vaksin?

Pakar psikologi jelaskan sebab mengapa wujud mereka yang menentang vaksin.

Other News

Daripada kisah dan komplot dominasi kuasa besar hingga teori sekumpulan saintis bekerja secara rahsia di makmal bawah tanah, Covid-19 sememangnya diselubungi pelbagai teori konspirasi yang beredar di seluruh dunia.

Setahun pandemik melanda dunia, media sosial dipenuhi pelbagai teori termasuk yang kelihatan masuk akal dan tidak kurang banyak juga yang tidak masuk akal, ada yang menyalahkan beberapa tokoh yang kononnya mahu mengubah tatanan dunia dan ada juga yang menuduh syarikat farmaseutikal membunuh untuk menjual ubat dan vaksin.

Hampir kesemua dakwaan tidak sahih itu sudah didedahkan atau dinafikan pihak-pihak yang terlibat.

Sikap skeptik itu kemudian turut menjangkiti mereka yang tidak percaya dengan program vaksinasi dilancarkan di seluruh dunia setelah bekalan diperolehinya.

Di Malaysia, kerajaan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai selepas 80% populasinya mewakili 27 juta rakyat divaksin sehingga akhir tahun ini.

Setakat 1 Jun, hanya 12 juta orang yang mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Ada beberapa sebab mengapa ini terjadi: kurangnya kesedaran mengenai situasi pandemik ketika ini, ragu-ragu untuk dapatkan suntikan kerana bimbang keselamatan dan kesan sampingan, dan ada juga kerana memang menentangnya.

Ahli psikologi dari Universiti SEGi Dr Mariani Md Nor berkata golongan yang menentang vaksin atau dikenali sebagai anti-vaksin memang sudah lama wujud.

“Mereka mempunyai persepsi dan kepercayaan sendiri tentang vaksin,” katanya sambil menambah ia menyumbang kepada bercambahnya teori-teori konspirasi dalam kalangan orang ramai.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata isu ini berakar dari maklumat yang salah.

“Di media sosial ada yang mengaku kononnya pakar berkongsi maklumat negatif tentang vaksin,” katanya dan menambah fikiran manusia boleh dipenuhi dengan butiran dan perincian teori dan konspirasi tersebut.

Katanya, jika perkara ini berlaku, umur tidak lagi memainkan peranannya, kerana orang muda mahu pun yang tua, kedua-dua golongan ini boleh terkesan dengannya.

Selain itu, isu lain timbul apabila seseorang tidak mengetahui tentang vaksin dan tidak mahu menerima maklumat yang diberitahu kepadanya.

“Maklumat negatif tentang vaksin yang diterima golongan anti vaksin akan diproses dalam memori dan ia kemudian disimpan dalam ‘cakera keras’ otak.

“Sukar untuk ubah sikap dan pendirian orang seperti ini, lebih-lebih lagi orang yang sangat kuat menentang vaksin,” katanya dan menambah mereka ini juga boleh mempengaruhi orang yang berada di sekeliling.

Bagi menangani isu ini, komunikasi efektif sangat diperlukan lebih-lebih lagi dalam kalangan ahli keluarga.

“Untuk pujuk ahli keluarga ambil vaksin, anda kena didik mereka dengan berikan bukti, jika tidak mereka akan dapat maklumat yang salah dari orang lain.”

Dari sudut kadar vaksinasi, Malaysia mendahului banyak negara yang sama saiz atau lebih besar populasinya.

Pada 29 Mei, 5.9% populasi Malaysia menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama vaksin.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata kadar itu akan meningkat seiring bertambahnya bekalan vaksin untuk dua bulan ke depan.

Namun keraguan terhadap vaksin di seluruh dunia menyebabkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok dilihat boleh terjejas.

Sebuah tinjauan Gallup yang dilaporkan oleh majalah Economist melibatkan 300,000 orang di 117 negara mendapati hanya 68% orang dewasa bersetuju untuk mendapatkan vaksin jika suntikan percuma diberikan kepada mereka sementara 29% lagi berkata akan menolak vaksinasi.

Seorang ahli psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idiris, Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata rasa takut adalah sebab utama sikap golongan anti vaksin.

“Apabila anda jumpa satu hal yang anda tak tahu, rasa takut akan menyebabkan anda mengelak untuk faham dengan lebih jelas,” katanya.

“Jika sudah takut, seseorang akan mudah tunjukkan emosi yang tak stabil dan tingkah laku tidak normal.”

Beliau berkata tingkah laku yang sama turut dilihat ketika pertama kali pertama kali berita kewujudan virus itu: sehingga wujud mereka yang panik kerana takut dengan koronavirus.

Yang lain pula hanya terus menerima semua maklumat yang ada dan sebarkan tanpa meneliti fakta-faktanya dahulu.

“Setiap vaksin memang ada komplikasi namun tidak semua orang yang terima akan alaminya,” kata Fauziah.

“Golongan anti vaksin selalu heboh-hebohkan kes-kes terpencil dan anggap ia kes yang biasa. Kemudian mereka sebarkan di media sosial.”

Namun beliau dan Mariani bersetuju jika golongan tersebut dibiarkan ia tidak akan membantu pandemik berakhir.

Kunci utamanya, kata mereka, adalah terus berusaha memberikan maklumat dan mendidik kerana imuniti kelompok adalah sasaran negara ketika ini, maka semua orang harus berada pada matlamat yang sama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles