- Iklan -
Berita

Malaysia ungguli negara utama Asean dalam kadar vaksinasi

Malaysia mendahului negara-negara tersebut dengan sekurang-kurangnya 6.2% sasaran vaksinasi telah dicapai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Data terkini program vaksinasi global menunjukkan Malaysia mengungguli negara-negara utama Asean lain dalam peratusan tertinggi populasi menerima vaksin sekurang-kurangnya suntikan pertama vaksin Covid-19.

Senarai itu tidak memasukkan Singapura, Brunei, Kemboja dan Laos, yang merupakan empat negara terkecil Asean dari sudut populasi dan saiz negaranya.

Dalam statistik yang dikumpulkan laman sesawang data global Our World in Data meletakkan Malaysia mendahului negara-negara tersebut dengan sekurang-kurangnya 6.2% sasaran vaksinasi telah dicapai.

Ia disusuli Indonesia dengan 6%.

Indonesia yang memulakan program vaksinasi pada pertengahan Januari lalu, awal sebulan daripada Malaysia akan tetapi hanya sedikit mendahului Malaysia dari sudut peratusan populasi yang menerima suntikan vaksin lengkap.

Pada 31 Mei lalu, 3.89% menerima vaksin lengkap di Indonesia, sementara Malaysia mencatat 3.54%.

Kedua-dua negara ini jauh mendahului Filipina, Thailand dan Myanmar, yang masih mencatat kadar populasi menerima vaksin sekurang-kurangnya suntikan pertama di bawah 4%. Myanmar memulakan program vaksinasinya pada akhir Januari lalu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Malaysia yang bermula pada 24 Februari tahun ini menyaksikan sejumlah 500,000 barisan hadapan negara menerima vaksin pada fasa pertama.

Fasa kedua bermula pada April dijangka melibatkan 9.4 juta penerima terdiri daripada warga emas dan mereka yang memiliki risiko tinggi.

Fasa ketiga pula dijadualkan bermula pada Mei sehingga Februari tahun depan melibatkan 13.7 juta penerima berusia 18 tahun ke atas.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin beberapa kali memberi jaminan kadar vaksinasi negara akan meningkat selepas negara menerima lebih banyak bekalan vaksin bermula Jun.

“Dengan kadar yang kita unjurkan, saya percaya dan yakin kita dapat selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media pada 19 Mei lalu.

Dalam sebuah laporan Bernama, Khairy dilaporkan berkata 105,655 dos vaksin telah diberikan semalam, kebanyakan daripada pemberian tersebut adalah dos suntikan pertama.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi juga turut berkata pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.

Beliau berkata usaha itu akan dibantu dengan penubuhan lebih banyak PPV termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara dan melalui sistem pandu lalu.