Saturday, June 19, 2021

Kehadiran pesawat tentera China di Malaysia ‘latihan rutin’ atau ‘amaran rutin’?

Program penerokaan minyak Petronas yang baru dilancarkan mungkin menjadi faktor ketegangan terbaru ini.

Other News

Siasatan MalaysiaNow mendapati insiden melibatkan 16 pesawat China yang melakukan penerbangan berdekatan wilayah Malaysia minggu ini menggambarkan sebuah tindakan mirip kepada “amaran rutin” dari Beijing terhadap musuh-musuhnya di wilayah ini, tetapi kali ini dengan aset utama ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan penemuan terbaru minyak di Malaysia menjadi sasarannya.

Tindakan terbaru itu berlaku ketika tentera AS meneruskan program Freedom Navigation Operation (Fonop), sebuah usaha bagi menunjukkan kehadiran AS bagi mencabar tuntutan-tuntutan wilayah di perairan dan ruang udara antarabangsa.

Kapal pengangkut yang dilengkapi senjata nuklear USS Ronald Reagan terlibat dalam program Fonop di Laut China Selatan dalam usaha melemahkan cita-cita hegemoni China di wilayah itu.

Kehadiran AS sememangnya dialu-alukan negara-negara yang terlibat dalam ketegangan itu walaupun tidak ditunjukkan secara terang-terangan.

Beberapa pulau dan terumbu maritim di Spratly menjadi kawasan perebutan enam buah negara termasuk, China , Taiwan, Vietnam, Filipina, Malaysia dan Brunei.

China dilihat mendominasi dengan saiz negara dan kekuatan senjatanya sekaligus mengawal kawasan tersebut dan mengubahnya menjadi lokasi pelancaran senjata dan pesawat tenteranya.

Selain itu, potensi perairan tersebut yang kaya dengan sumber perikanan dan dipercayai menyimpan minyak mentah dan karbon hidro turut menghangatkan lagi konflik di Laut China Selatan sehingga kawasan itu berpotensi menjadi titik konflik paling berbahaya selepas Teluk Parsi.

Malaysia sering mengelak daripada konfrontasi secara langsung dengan China berbanding jiran-jirannya yang lebih keras mengkritik seperti Filipina dan Indonesia.

Kapal tentera Amerika Syarikat USS Ronald Reagan. Sebuah jentera pengangkut pesawat berlabuh di Hong Kong pada 21 November 2018. Kapal itu dilaporkan menuju Timur Tengah ketika ini. Gambar: AP

Namun insiden “tunjuk kekuatan” pada Isnin oleh 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memperlihatkan tindakan terbaru bagi mengundang kemarahan sehingga menyebabkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengeluarkan kenyataan yang jarang-jarang dikeluarkan lengkap bersama beberapa gambar pintasan pesawat-pesawat China tersebut.

Beijing menafikan pihaknya menceroboh ruang udara Malaysia.

Sebaliknya jurucakap kedutaan China mendakwa penerbangan pesawat tenteranya itu adalah “rutin latihan tentera udara China dan tidak menyasarkan mana-mana negara”.

“Mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa, tentera udara China memiliki kebebasan untuk melaksanakan penerbangan di ruang udara yang relevan,” katanya dipetik daripada laporan AFP.

Seorang sumber yang arif dengan isu ketenteraan di perairan Laut China Selatan berkata tidak dinafikan China tidak menceroboh ruang udara wilayah Malaysia (12 batu nautika dari kawasan pesisir) kerana ia berlaku di luar kawasan sejauh 60 batu nautika.

“Namun dakwaan kononnya ia ‘latihan rutin’ menunjukkan ia sememangnya dirancang sebagai percubaan untuk intimidasi,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Hanya beberapa hari sebelum itu, laporan media AS memetik beberapa sumber yang berkata USS Ronald Reagan akan bergerak menuju ke Timur Tengah.

Namun perisikan Beijing tidak bergantung dengan laporan-laporan tersebut dan percaya kapal pengangkut pesawat AS itu membawa senjata-senjata taktikal ke kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada program Fonop.

MalaysiaNow maklum sejak beberapa tahun lalu aktiviti-aktiviti ketenteraan China di perairan itu menyebabkan aktiviti-aktiviti strategik secara besar-besaran melibatkan ketenteraan dan perisikan oleh seterunya termasuk Malaysia.

Dapatan utamanya menunjukkan kewujudan tiga pulau kecil diubah menjadi kawasan “kubu pertahanan” untuk China dilengkapi tempat perlindungan pesawat, radar pertahanan dan sistem komunikasi selain peluru berpandu darat ke air dan darat ke darat.

Ketiga-tiga pulau buatan itu dikenali sebagai Fiery Cross Reef, Subi Reef dan Mischief Reef.

Namun apa yang menjadi kebimbangan ketika ini adalah berkaitan aktiviti penerokaan minyak di Laut China Selatan.

Sejak 2019, ketegangan mulai timbul antara China dan Malaysia selepas kapal penggerudi yang bekerja untuk Petronas memulakan penerokaan baru minyak dan gas di kawasan 200 batu nautika di zon ekonomi eksklusif (EEZ) berhampiran Malaysia.

Ia kemudian menjadi tegang pada April tahun lalu apabila kapal-kapal peninjau China mengganggu kapal Malaysia.

Kejadian tersebut berlaku di kawasan berbentuk U yang dipanggil “nine dash line” atau sembilan garis putus yang menandakan tuntutan Beijing, sekali gus mendakwa memiliki hampir keseluruhan Laut China Selatan.

Asia Maritime Transparency Initiative (Amti) yang memberikan kemaskini mengenai keselamatan maritim dalam sebuah laporan tahun lalu berkata insiden melibatkan program penerokaan minyak Petronas itu tidak akan menjadi kejadian pertama dan terakhir.

Amti memberikan amaran kepada kerajaan-kerajaan dan operator komersial yang terlibat di wilayah tersebut “akan berdepan kesukaran” sehingga menyebabkan sebarang penerokaan minyak mentah di Laut China Selatan “mungkin terpaksa berdepan gangguan berisiko tinggi oleh China”.

Malaysia tidak mampu membiarkan ugutan sedemikian berpanjangan, justeru isyarat lebih tegas diberikan bagi mengelakkan wujudnya vakum kuasa oleh negara-negara terlibat di Laut China Selatan.

Dengan kehadiran 16 pesawat China pada Isnin, maka Malaysia mempunyai alasan untuk menghantar mesej tegas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles