- Iklan -
Berita

Ibu bapa disaran proaktif lindungi kanak-kanak daripada Covid-19

ibu bapa yang mempunyai bayi dan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun perlu menjalankan tanggungjawab dengan kekal berada di rumah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli Temuan bersama anak-anak duduk menunggu giliran sebelum melakukan ujian saringan RTK-Antigen secara percuma oleh pasukan kesihatan.
Orang Asli Temuan bersama anak-anak duduk menunggu giliran sebelum melakukan ujian saringan RTK-Antigen secara percuma oleh pasukan kesihatan.

Ibu bapa perlu mengambil tindakan proaktif bagi melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada jangkitan Covid-19 susulan peningkatan kes terutama melibatkan bayi berumur kurang setahun dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ibu bapa yang mempunyai bayi dan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun perlu menjalankan tanggungjawab dengan kekal berada di rumah serta tidak membawa anak mereka ke tempat berisiko.

Beliau berkata ini termasuk pasar raya, pasar awam serta tempat sesak lain dan menyarankan ibu bapa membuat pembelian secara dalam talian bagi mendapatkan keperluan harian.

“Semua pihak terutama ibu bapa diseru untuk mengambil berat isu keselamatan serta kesihatan golongan kanak-kanak ini memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka yang belum matang.

“Oleh itu, mereka cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2. Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata ibu bapa dan masyarakat sekitar juga harus mendaftarkan diri untuk vaksinasi bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk kanak-kanak sekali gus melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19.

Selain itu, beliau menyarankan ibu bapa memantau pergerakan anak mereka agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga.

Katanya anak-anak perlu dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri yang betul jika terpaksa keluar rumah atas urusan yang tidak dapat dielakkan seperti ke hospital atau klinik.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan bahawa sejumlah 82,341 kanak-kanak dan bayi telah dikesan dijangkiti Covid-19 di Malaysia.